PAN dipergunakan oleh bukan Islam?

LANJUTAN daripada keputusan Mahkamah Persekutuan ke atas permohonan Salina Jau Abdullah, Nur Mudzdhalifah Abdullah, Syarifah Nooraffyzza Wan Hosen dan Mohd Syafiq Abdullah menukar agama dari Islam ke Kristian, semalam, 2 Mac 2018, Pakatan Harapan (PH) Sarawak telah mengeluarkan satu kenyataan media yang ditandatangani oleh Pengerusi PH Sarawak merangkap Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian, dan Pengerusi PAN Sarawak, Fidzuan Zaidi.
 
Kenyataan media bertajuk “Undang-Undang Dan Garis Panduan Yang Jelas Diperlukan Untuk Menukar Agama” ini mendesak Jabatan Agama Islam Sarawak supaya “membuat garis panduan dan kehendak yang sangat jelas bagi mereka yang ingin meninggalkan Islam secara sukarela untuk mengikuti supaya surat pembebasan dapat dikeluarkan” selain mendesak kerajaan negeri Sarawak supaya “mempertimbangkan dengan serius meminda undang-undang negeri yang berkaitan untuk menyediakan keperluan untuk surat pelepasan”.
 
Disebutkan di dalam kenyataan media ini bahawa:
“Prosedur mestilah dinyatakan dengan jelas untuk kategori berikut:
1. Mereka yang mempunyai dokumen bukti untuk membuktikan mereka tidak lagi mengamalkan agama Islam;
2. Mereka yang berhasrat untuk meninggalkan agama Islam.”
 
Mereka yang paling aktif memperjuangkan kebebasan untuk umat Islam murtad ini adalah pemimpin parti politik seperti DAP dan PKR selain pertubuhan sivil seperti SIS, G25 dan IRF di mana di dalam buku G25 bertajuk “Breaking the Silence: Voices of Moderation – Islam in a Constitutional Democracy”yang diharamkan oleh kerajaan pada 27 Julai 2017 umpamanya, peguam Aston Paiva menggesa supaya diwujudkan prosedur pentadbiran mengenai kemurtadan. Begitu juga di dalam satu kertas kerja beliau dengan Penang Institute di mana Aston Paiva menggesa supaya Kerajaan Negeri Pulau Pinang memansuhkan dengan segera undang-undang anti-murtad dan menyediakan prosedur mengenai kemurtadan.
 
Bila individu seperti Aston Paiva yang menggesa supaya prosedur mengenai kemurtadan disediakan atau dijadikan lebih jelas bagi memudahkan proses pemurtadan, ia tidaklah terlalu pelik kerana Aston Paiva adalah seorang bukan Islam, tetapi apabila yang menyuarakan gesaan begini adalah seorang Islam seperti Pengerusi PAN Sarawak, Fidzuan Zaidi, sedangkan kenyataan media PH Sarawak ini sepatutnya dibaca oleh Pengerusi atau Ketua Penerangan PH Sarawak, maka persepsi yang timbul adalah Pengerusi PAN Sarawak dipergunakan oleh bukan Islam untuk kepentingan mereka.
 
Apatah lagi bila gesaan ini sendiri bercanggah dengan kenyataan Penasihat Umum PAN, Ahmad Awang, sehari sebelumnya di dalam portal berita Malaysia Date Line, malah di dalam lidah rasmi PAN, iaitu Amanah Daily, juga, ketika mengulas isu permohonan Salina Jau Abdullah, Nur Mudzdhalifah Abdullah, Syarifah Nooraffyzza Wan Hosen dan Mohd Syafiq Abdullah untuk menukar agama dari Islam ke Kristian ini, bahawa “semua NGO Islam, badan dakwah dan Jabatan Agama serta Pusat Zakat haruslah bersatu dalam memastikan umat Islam yang mahu murtad tidak meneruskan niat mereka”. Itu belum lagi diambil kira kenyataan Presiden PAN, Mohamad Sabu, di dalam sidang Dewan Rakyat pada 13 November 1996 serta kenyataan Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub, di dalam sidang Dewan Rakyat pada 18 Mac 2009 mengenai masalah murtad ini.
 
Disebabkan percanggahan antara kenyataan Pengerusi PAN Sarawak, Fidzuan Zaidi, dengan kenyataan Penasihat Umum PAN, Ahmad Awang, di dalam masalah murtad ini maka sangatlah penting untuk PAN mengeluarkan satu kenyataan rasmi mengenainya. Malah PH Malaysia juga sepatutnya segera mengeluarkan satu kenyataan rasmi bagi menjelaskan sama ada pendirian PH Sarawak di dalam masalah murtad ini adalah menyamai dengan pendirian dan dasar bersama PH Malaysia. – HARAKAHDAILY 3/3/2018
Advertisement