Pemuda Titiwangsa bermuhasabah menuju PRU14

TITIWANGSA: Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa telah melangsungkan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Kali Ke-30 di Dewan Seminar Hotel Adamson Inn, Kampung Bharu, di sini semalam.
 
MAT tersebut bertujuan meneliti dan merupakan medan muhasabah buat kepimpinan kali ini dalam bergerak kerja serta membentangkan laporan yang merupakan agenda berkala tahunan setiap peringkat.
 
Perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Farkhan Md Zin dan turut disertai pemerhati dari Pemuda PAS Wilayah Persekutuan iaitu Ustaz Muhammad Faiyzal Ibrahim dan Ustaz Imran Ishak.
 
Turut hadir sebagai pemerhati adalah Yang DiPertua (YDP) PAS Titiwangsa, Ustaz Mohd Khairul Anuar Manaf dan Timbalan YDP PAS Titiwangsa, Yaakob Omar serta Setiausaha PAS Titiwangsa, Hedzer Ibrahim.
 
MAT tersebut turut mengenang bekas Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Titiwangsa, Allahyarham Ustaz Mirzan Mohamad yang banyak berjasa khususnya kepada PASTI dan SRITI.
 
Turut diselitkan adalah acara Sambutan 30 Tahun Dewan Pemuda PAS Titiwangsa dengan gimik potong kek dan Pelancaran Bilik Gerakan Pemuda PRU14 di PASTI Darul Hikmah Desa Pandan.
 
Ustaz Farkhan dalam ucapannya menekankan mengenai pembinaan pelapis kepimpinan pemuda di semua peringkat, serta fokus program berimpak tinggi, selain membangunkan pangkalan data pengundi.
 
Ucapan penangguhan oleh wakil PAS Titiwangsa, Yaakob Omar menyentuh mengenai siap siaga tenaga pemuda khususnya dalam menggerakkan kerja pilihan raya. – HARAKAHDAILY 4/3/2018
Advertisement