Rakyat semakin terima politik berasas Islam

PADANG BESAR: Anggapan bahawa PAS akan berkubur selepas PRU14 nanti kerana enggan bersama Pakatan Harapan ternyata menunjukkan sebaliknya berdasarkan reaksi masyarakat kepada PAS.
 
Demikian ditegaskan Naib Presiden PAS, Dato’ Ir Iskandar Samad ketika merasmikan Sambutan Jubli Perak PAS Kawasan Padang Besar di Kompleks Tarbiyah PAS Padang Besar, di sini semalam.
 
“Sejak PAS melaksanakan Budaya Politik Matang dan Sejahtera, rakyat mula melihat PAS sebagai parti masa hadapan.
 
“Jadi kita kena ceritakan kepada rakyat, apa yang PAS boleh buat untuk rakyat, kita berikan solusi, bukan sekadar membangkitkan kelemahan-kelemahan kerajaan,” tegasnya.
 
Malah katanya, rakyat kini termasuk masyarakat bukan Islam sudah mula menerima pembawaan PAS iaitu agama dan politik tidak boleh dipisahkan.
 
Ini kerana menurutnya, rakyat mulai sedar dan mengakui bahawa perkara itu telah terbukti melahirkan ahli politik yang lebih bertanggungjawab dalam memimpin rakyat.
 
Sebaliknya kata beliau, ia berbeza dengan sistem politik sekular yang menyebabkan pelbagai masalah berlaku dalam negara kerana korupsi pemimpin hingga memberi kesan kepada rakyat.
 
“Berbeza dengan sekarang, orang politik boleh buat apa saja, nak makan rasuah boleh, nak salah guna kuasa pun boleh, nak buat apa pun boleh.
 
“Tapi bila politik itu tidak terpisah dengan agama, orang politik akan berjaga-jaga, akan lebih bertanggungjawab ke atas apa yang mereka lakukan.
 
“Jadi rakyat sudah nampak, konsep ini bukan hanya memberi manfaat kepada Islam sahaja, tetapi memberi manfaat kepada seluruh rakyat dan negara,” katanya.
 
Demikian itu juga tegasnya, PAS akan tetap dan yakin bertanding dalam PRU akan datang walaupun bersendirian kerana sudah cukup berpengalaman menghadapi situasi seperti itu. – HARAKAHDAILY 3/3/2018
Advertisement