Kursus tingkat profesionalisme Guru SRITI

SHAH ALAM: Unit Latihan Guru, Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Negeri Selangor telah mengadakan Kursus Peningkatan Profesionalisme Guru di Kem Bumi Jati, di sini sejak 2 Mac lalu dan berakhir hari ini.

Advertisement

Permukiman selama 3 hari yang diwajibkan kepada semua Guru SRITI itu bertujuan mendedahkan mengenai penguasaan elemen asas pengajaran dan pemudahcaraan (PDPC).

Di mana melalui kursus itu, peserta mempelajari penggunaan ‘tools’ pengajaran abad ke-21 serta teknik pengajaran untuk membantu murid LINUS, sekali gus memberi impak positif kemenjadian murid.

Menerusi kursus tersebut, para guru turut diterapkan strategi asas dalam kaedah pengajaran melalui perkongsian daripada guru-guru pakar.

Menurut Ketua Unit Latihan Guru SRITI Selangor, Mohd Solehan Ahmad Shah, kursus tersebut juga menerapkan elemen ‘softskill’ seperti pengucapan awam, teknik kawalan murid dalam kelas dan asas pembinaan soalan.

Perasmian kursus tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah SRITI Selangor, Ustaz Ikmal Rosli yang antara ucapannya menyentuh mengenai konsep Tilawah, Tazkiyyah dan Taalim.

Petikannya itu menerapkan pembawaan para guru mestilah dengan mengambil ibrah daripada sirah Nabi Muhammad S.A.W agar dapat mencapai tujuan pendidikan di dalam Islam. – HARAKAHDAILY 4/3/2018