PRU14: Parti Ikatan guna lambang PAS

KUALA TERENGGANU: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kini telah membuat tiga keputusan besar parti sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 ini.
 
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS telah menerima dan meluluskan keahlian parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) sebagai anggota komponen Gagasan Sejahtera (GS).
 
“Kita (PAS) telah pun menerima dan meluluskan keahlian parti Berjasa sebagai parti komponen kita dalam Gagasan Sejahtera melalui mesyuarat pada hari ini. 
 
“Kedua, kita juga menerima permohonan daripada Parti Ikatan untuk mereka menggunakan lambang PAS dalam pilihan raya (PRU14) kali ini. Mengikut taklimatnya, parti Ikatan tidak bertanding banyak kerusi dan dia (Ikatan) tubuh parti pun bukan hendak bertanding sangat tetapi untuk bantu kemenangan PAS dalam pilihan raya pada kali ini. 
 
“Ketiga, kita (PAS) juga membuat keputusan untuk buat satu program besar, Syarahan Perdana pada 11 Mac 2018 ini bersama Tuan Guru Presiden PAS (Dato Seri Abdul Hadi) bagi menjelaskan kepada golongan-golongan pertengahan, orang akademik, pakar-pakar dan sebagainya ke mana halatuju PAS bersama Gagasan Sejahtera. 
 
“Kita harap keputusan besar ini akan menjadi lonjakan besar kepada parti dan sekaligus kita akan lancarkan Manifesto PAS Pusat, InsyaAllah,” jelasnya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kemaman Kali Ke-43 di Markaz Tarbiyyah PAS Kawasan Kuala Terengganu, Kuala Ibai, di sini semalam.
 
Menurutnya, Gagasan Sejahtera diperkenalkan oleh PAS sebagai pandangan blok ketiga yang tidak bersama Umno-Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH). 
 
Katanya, blok ketiga adalah golongan rakyat yang tidak bersetuju dengan kepimpinan BN, Dato’ Sri Najib Razak dan PH yang diterajui oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Dato’ Tuan Ibrahim turut mengingatkan ahli-ahli partinya bahawa PAS sebuah parti besar yang memerlukan pemimpin dan ahli berjiwa besar.
 
“Tapi, jiwa besar kita (PAS) sedia untuk lihat mana ruang untuk kita capai kemenangan bersama blok Gagasan Sejahtera ini. 
 
“Bila kita (PAS) perkenalkan Gagasan Sejahtera ianya tidak termasuk Barisan Nasional dan tidak ada Pakatan Harapan. Politik Malaysia adalah politik dua wajah sejak merdeka sampai sekarang iaitu wajah pembangkang dan wajah kerajaan. 
 
“Oleh kerana, PAS tidak bersama Pakatan Harapan (maka) dituduh PAS bersama kerajaan (BN). Kita tegaskan PAS tidak bersama Umno-BN dan tidak juga bersama Pakatan Harapan. 
 
“Kita ada pandangan (blok) ketiga. Kita (PAS) bawa gagasan blok ketiga dengan Gagasan Sejahtera. Blok ketiga yang rakyat tidak setuju dengan Umno-BN yang zalim kepada rakyat dan rakyat juga tidak setuju dengan Pakatan Harapan yang memanggil balik Tun Dr Mahathir,” jelasnya.
 
Sehubungan itu, katanya PAS mengambil pendekatan tersendiri menghadapi pilihan raya dan tidak mahu menjadi alat kepada pihak lain.
 
Hadir sama pada majlis itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, pemimpin veteran PAS, Dato Mustafa Ali dan Dato Wan Abdul Mutalib Embong serta Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Kuala Terengganu, Jefri Chua.
 
Beberapa acara sampingan diadakan iaitu pertandingan Semarak Hijau, pelancaran Kuala Terengganu Medical Team, anugerah As-Sabiqun setiap wakil Dewan Undangan Negeri (Dun) dan pelancaran buku Menjejaki Insan Pilihan karangan Dr Mohamad Hamdam Mohd. – HARAKAHDAILY 4/3/2018
Advertisement