JAM tubuh Unit Media hadapi cabaran semasa

SHAH ALAM: Jabatan Amal Malaysia melangkah setapak lagi menerusi penubuhan Unit Media yang menambahkan ‘amal’ dan sekali gus mengutuhkan kelengkapan bersepadu organisasinya.

Advertisement

Kewujudannya bertujuan menggembleng bakat dan kepakaran di kalangan anggota untuk mempertingkatkan peranan menyokong keperluan parti di sektor media khususnya.

Sehubungan itu, telah dianjurkan Retreat Unit Media melibatkan semua wakil negeri yang dilangsungkan di Seksyen 7, di sini bermula 2 Mac lalu dan berakhir kelmarin.

Dalam perasmian yang disempurnakan Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia, Mohd Nazree Mohd Aris, beliau menekankan cabaran sedang dihadapi PAS dalam mendepani media hari ini.

Menurutnya, ketika PAS sedang menggagaskan pelbagai inisiatif, wawasan masa depan dan usaha murni, ia ‘diperangi’ oleh media dan pemainnya dengan palitan yang negatif.

Lantaran itu, kekuatan yang dimiliki Jabatan Amal perlu diperuntukkan untuk skop berkaitan media dalam menangani cabaran tersebut dengan prinsip dan etika media yang benar.

Peserta telah mendapat latihan langsung dari Pengarah Jabatan Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Izwan Abdul Halim yang menerapkan beberapa modul sepanjang permukiman.

Antaranya, peserta didedahkan mengenai landskap media Malaysia dan pengurusan isu, serta latihan praktikal penulisan teks kenyataan rasmi dan juga pemberitaan.

Susulan dari itu, pembentukan unit tersebut hingga ke peringkat Kawasan sedang disusun dan PRU14 bakal menjadi medan awal pelaksanaan langsung yang menguji keupayaan mereka pada disiplin tersebut.-HARAKAHDAILY 5/3/2018