Sumbangan komputer riba bantu pengajian di universiti

REMBAU: PAS Kawasan Rembau telah mengadakan sumbangan komputer riba untuk seorang penuntut universiti yang disampaikan di kediamannya di Kampung Nerambai, Lubok China di sini semalam.

Advertisement

Sumbangan disampaikan oleh Ketua Urusan Ulamak PAS Rembau, Ustaz Nazry Yusof itu sebagai membantu beliau yang mengikuti pengajian di bidang Pengurusan Hartanah.

Pemberian itu berikutan ketidakmampuannya memiliki keperluan tersebut kerana ibunya, Mazliana Mafhul yang juga seorang ibu tunggal tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Ketika sama Mazliana turut menanggung ibunya yang sudah uzur, selain menyara empat anak beliau dengan hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal.

Hadir sama ketika serahan itu adalah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Rembau, Ishak Omar di mana Nazry turut menyeru sumbangan orang ramai untuk pihaknya melangsungkan usaha itu.

Terangnya, pihak PAS Rembau turut menerima komputer riba terpakai yang boleh dihulurkan dengan menghubungi 019-682 3159 (Nazry) atau 012-349 4041 (Ishak). –HARAKAHDAILY 5/3/2018