Pemuda semangat menangkan PAS di Jabi

jabi1

SETIU: PAS Kawasan Setiu memperkukuhkan persiapan PRU14 dengan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda PAS Dun Jabi di Dewan As-Syakirin Kampung Bukit Tanah, di sini semalam.

Advertisement

Program yang dijana kekuatan oleh 200 tenaga jentera Pemuda itu bermula dengan konvoi motosikal sejauh 6 kilometer dari Masjid Renek ke tapak program.

Pelbagai acara berlangsung sempena pelancaran itu antaranya tayangan multimedia dan cabutan bertuah, selain ikrar pemuda serta pidato para pimpinan.

Menurut Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim, semangat dizahirkan anak-anak muda Jabi itu menunjukkan mereka mahu bersama menjadi sebahagian benteng teguh perjuangan Islam.

Dalam ucapannya yang menyemarakkan intima’ para Pemuda itu, beliau mengingatkan mereka betapa perjuangan PAS telah diletak generasi dahulu bukan sahaja dengan keringat dan air mata, tetapi juga darah.

“Ayah dan datuk kita mengorbankan segalanya demi cinta kepada Islam. Dizalimi, dianiaya, ditekan, dipulaukan, dinafikan hak dan segala mehnah mereka tempuhi hingga akhirnya mewariskan kepada kita jalan perjuangan yang lapang dan mudah.

“Mereka dulu membersihkan hutan rimba tebal, kita sekarang hanya menebas rumput dan semak samun. Mereka menapak dalam gelap dan kepayahan, sedang kita mampu berkonvoi dengan motosikal.

“Ayah ibu dan datuk nenek kita dulu bergolok gadai, tanam ubi stelo, tangkap ayam kampung dan kumpul buah kelapa bagi hulur samah seriyal kepada perjuangan,” ungkap beliau merangkap Timbalan Yang DiPertua PAS Setiu.

Oleh itu serunya, hal tersebut mesti disyukuri dan tidak disia-siakan pemuda kerana ianya adalah nikmat dianugerahkan Allah, serta pilihan-Nya yang tidak diberikan kepada orang lain di medan itu. 

Hadir sama dan berucap adalah Ketua Pemuda PAS Setiu, Zaidan Abdullah dan Pengarah Pilihan Raya Jabi, Ustaz Zulbhari Abdul Rahman, serta wakil Pemuda PAS Jabi, Haris Zulhaizad Mohd Nawawi.- HARAKAHDAILY 6/3/2018