Resah penjaja diarah berpindah dapat perhatian PAS

PUTATAN: Pemuda PAS Kawasan Putatan mengambil perhatian serius terhadap masalah dihadapi peniaga kecil Pantai Tanjung Aru ekoran arahan berpindah oleh pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
 
Arahan tersebut menyebabkan para peniaga yang telah lama beroperasi di situ terpaksa menamatkan perniagaan mereka pada 4 Mac dan diperintah ke tapak perniagaan baharu di Pantai Tanjung Lipat, Likas.
 
Ekoran itu, rata-rata peniaga mengeluh dan merasa dianaktirikan, walhal projek Tanjung Aru Eco Development (TAED) itu digembar-gemburkan sebagai pusat tarikan pelancong oleh kerajaan negeri.
 
Dalam luahan mereka kepada pihak Pemuda PAS, para peniaga merasa kecewa dan tidak puas hati kerana lokasi baharu masih belum siap sepenuhnya untuk bersedia dioperasikan.
 
Perkara tersebut dinyatakan langsung kepada Ketua Pemuda PAS Negeri Sabah, Ustaz Zulzaim Hilmee Abidin dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Putatan, Yusrizal Anuar ketika kunjungan di situ kelmarin.
 
Menurut peniaga, berikutan keadaan tersebut, kemudahan dan premis berada dalam keadaan membimbangkan khususnya aspek keselamatan yang terdedah kepada risiko kecurian peralatan dan seumpamanya.
 
Demikian itu, Pemuda PAS menggesa pihak berwajib memastikan proses perpindahan peniaga diuruskan dengan baik agar tidak berlaku penindasan punca rezeki mereka hanya semata-mata memberi laluan kepada kepentingan projek tertentu. -HARAKAHDAILY 6/3/2018
Advertisement