Tolak Pakatan Harapan, selamatkan negara

‘MURKA’ benar Tun Mahathir kepada PAS hingga Tun lupa beliau sendiri pernah benci dan marah pada DAP. ‘Murka’ benar Tun Mahathir kepada PAS hingga Tun lupa beliau sendiri pernah menghalang pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan yang dibentang al-Marhum Dato Bentara Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Advertisement

‘Murka’ benar Tun Mahathir kepada PAS hingga beliau sendiri lupa bahawa Kelantan dinafikan hak dan royalti petroleum oleh Kerajaan Persekutuan semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

Pelupa benar kebanyakan pemimpin Pakatan Harapan yang memuja Tun Mahathir bahawa beliau pernah menzalimi Kelantan serta menafikan hak pembangunan Kelantan semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

Pelupa benar pemimpin Pakatan Harapan bahawa al-Marhum Tuan Guru Nik Aziz yang dipuja mereka diserang segenap penjuru oleh Tun Mahathir tanpa ada belas kasihan dan perikemanusiaan.

Pelupa benar pemimpin Pakatan Harapan bahawa dahulu mereka berseteru hingga bersengkang gigi dengan Tun Mahathir, menuduh Tun Mahathir dengan pelbagai korupsi, diktator, kronisme, nepotisme dan kleptokrasi hingga terbit ungkapan “Maha Firaun”.

Pelupa benar pemimpin Pakatan Harapan akan skandal Perwaja, skandal BMF 1983, skandal Forex, pemecatan dan insiden mata lebam Anwar Ibrahim serta pelbagai lagi salah laku yang mereka jerit, tentang dan ungkap kepada rakyat jelata dahulu.

Pelupa benar pemimpin Pakatan Harapan akan kisah Memali dan Operasi Lalang yang mereka perjuang dahulu. Terlupa mereka sehingga orang yang mereka tuduh menjadi dalang di sebalik peristiwa tersebut dipeluk, dijunjung dan diagungkan sekarang hingga diangkat sebagai pemimpin besar mereka.

Pelupa benar pemimpin Pakatan Rakyat yang mereka pernah berjanji jika menang pilihan raya mereka akan heret dan bicarakan Tun Mahathir di atas semua salah laku yang pernah beliau lakukan dahulu. Pelupa benar pemimpin Pakatan Harapan bahawa Tun Mahathir pernah mengungkap DAP ialah parti rasis dan Lim Kit Siang ialah ibu segala rasis.

Pelupa benar pemimpin Pakatan Harapan bahawa Tun Mahathir pernah mengungkap bahawa Anwar Ibrahim adalah perosak perpaduan Melayu dan menjadi pelindung kepada DAP.

Pelupa benar pemimpin Pakatan Harapan bahawa Tun Mahathir pernah melabel Anwar Ibrahim sebagai penipu paling besar di dunia dan mempunyai sejumlah wang yang banyak disorokkan di luar negara. Pelupa benar pemimpin Pakatan Harapan bahawa siapakah yang menyumbat Anwar Ibrahim di dalam penjara dengan tuduhan yang terlalu jijik dan mengaibkan.

Sekarang demi kuasa dan penuh ketamakkan, sekelip mata mereka boleh melupakan segalanya dan bersekongkol demi mencapai cita—cita mereka. Mereka lupa segala tuduhan, lupa segala janji dan lupa segala pembongkaran skandal.

Jika itulah yang mereka mampu lakukan sesama mereka, adakah kita sebagai rakyat biasa mampu membendung mereka jika mereka berkuasa kelak? Mampukah kita percaya mereka boleh berlaku jujur sesama mereka dan menjaga kepentingan kita sebagai rakyat jelata?

Tidak mustahil jika mereka menang pilihan raya, demi mencapai maksud peribadi masing-masing mereka sanggup bergasak, bergomol dan bercekak seperti dahulu. Sekelip mata sahaja mereka secara tiba-tiba boleh berbaik, sekelip mata juga mereka boleh berperang demi cita-cita, kuasa dan agenda peribadi masing-masing.

Baik PPBM, DAP, PKR mahupun PAN sebenarnya saling tidak percaya di antara satu sama lain. Hakikatnya di dalam mereka sedang bergolak, menunggu masa untuk meletus. Biar ditolak mereka sekarang, bukan sesudah PRU. Kita sebagai rakyat jangan silap pilih ketika PRU nanti kelak merana diri.

SYAIFUL HIZAM
Pemerhati Politik – HARAKAHDAILY 6/3/2018