Miskin tapi berbelanja di luar kemampuan?

KOS sara hidup akan timbul apabila individu berbelanja di luar kemampuannya,” kata Ketua Menteri Melaka. 

Advertisement

Saya jumpa ramai penoreh getah yang menoreh dua kali sehari. Pagi menoreh dan malam menoreh lagi. Tapi hanya mampu beli beras secara timbang kilo dan tak mampu beli beras sekampit lima kg atau 10 kg. Mungkin penoreh ini sepatutnya beli beras setengah kilo sahaja. Beli beras sekilo itu dikira di luar kemampuannya dan tak sepatutnya dia berbelanja sebegitu!

Saya jumpa orang kampung yang hanya makan nasi berlauk minyak bekas goreng ikan tapi ikannya tiada. Hidup penuh kesempitan. Apakah dia terbeban dengan kos sara hidup kerana berbelanja di luar kemampuan? Bagaimana hamba Allah ini perlu mengatur hidup untuk berbelanja dalam kemampuannya? Apakah dia perlu hanya makan nasi kosong tanpa lauk walaupun sekadar minyak bekas goreng ikan?

Satu lagi keluarga yang saya temui di Jabi tak mampu membekalkan anak sekolah dengan wang belanja. Walaupun keluarga ini hanya makan nasi berlauk ikan Selayang rebus goreng saja. Ikan Selayang ialah ikan kelas paling rendah sekali. Ikan apa lagi yang keluarga ini patut beli supaya mereka tak masuk dalam kelompok orang yang berbelanja di luar kemampuan?

Sedap sekali Pak Menteri bagi komen. Dia hidup minyak kereta kerajaan bayar. Telefon, api dan air kerajaan bayar. Kereta kerajaan bayar. Pemandu, orang gaji dan tukang masak kerajaan bayar. Buat majlis keraian guna duit kerajaan. Pergi bercuti dengan duit kerajaan. Naik kapal terbang claim dengan kerajaan. Duduk hotel kerajaan bayar. Makan minum kerajaan bayar. Maka laju saja mulut Pak Menteri memberi komen. Beginilah manusia bila hanya melihat ke atas saja.

DR AZMAN IBRAHIM
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 8/3/2018