Berita palsu: Mulakan dengan media arus perdana

MENJUNJUNG kasih titah ucapan Yang Di Pertuan Agong, Sultan Muhammad V yang menyokong cadangan penggubalan undang-undang bagi menangani penyebaran berita palsu dan fitnah di media sosial. Sokongan Yang Di Pertuan Agong terhadap cadangan penggubalan undang-undang ini amat penting sebagai tanda seriusnya kerajaan Malaysia di dalam usaha memerangi fitnah.

Advertisement

Apa yang diketahui, budaya fitnah melalui media sosial sejak akhir ini semakin parah dan membarah. Dengan berkembangnya industri media sosial, semakin berkembang dan mudah pula fitnah dan berita palsu. Hanya sesaat sesuatu maklumat baik atau benar tersebar seluruh dunia. Jika ia benar tidak mengapa, tetapi jika ia adalah fitnah semata-mata, sukar bagi tertuduh, atau orang yang didakwa menjawab kembali tuduhan terhadapnya. Bahkan, mereka telah dijatuhkan sebagai bersalah tanpa dibicarakan atau dibenarkan untuk membela diri.

Fitnah dan berita palsu disebarkan dengan tujuan menjatuhkan satu-satu pihak atau memburukkan keadaan. Ia menjadi budaya yang telah diterima oleh masyarakat, sehingga satu-satu berita itu ditelan bulat-bulat tanpa diketahui hujung pangkal kebenarannya. Daripada industri hiburan, sukan, politik, ekonomi, agama mahupun aspek keselamatan negara, semuanya menjadi mangsa yang tidak mengenal erti belas kasihan atau takut dosa dan pahala. Fitnah media sosial sudah menjadi makanan harian sehingga sukar untuk dikekang.

Yang dikesalkan lagi, banyak pihak suka melemparkan tohmahan tanpa bukti. Ada pihak yang suka memainkan sentimen dan persepsi untuk menjadi isu yang hangat dibicarakan. Malah, ramai juga yang suka melemparkan fitnah bersembunyi di sebalik nama samaran, akaun palsu, menggunakan nama orang lain, ‘hack’ atau hijack akaun milik orang lain dan sebagainya. Tujuannya, mereka ini selamat manakala nama yang digunakan itu disiasat kerana melemparkan fitnah dan adu domba.

Di kala negara sedang menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU ke 14), amat cantik akta ini dibentang dan diluluskan di Parlimen. Tujuannya supaya dalam medan siasah pilihan raya, semua parti politik dan pemain politik berpolitik secara matang dan benar. Gunakan hujah yang rasional, maklumat yang sahih, fakta yang berpijak di bumi nyata. Kebenaran pasti terserlah manakala kepalsuan dan terbungkam jatuh. Politik secara persepsi, tuduhan tanpa bukti, dakwaan tanpa saksi atau maklumat yang tepat, andaian atau ramalan umpama nujum terhadap sesuatu isu, individu atau parti politik mesti ditolak tepi. Bahkan, individu atau pihak yang membakar api fitnah, menyebarkan dakyah dan berita palsu mesti diheret ke muka pengadilan, tidak kira siapa pelakunya.

Tidak perlu lagi tertuduh mengheret penuduh ke mahkamah untuk saman malu, ganti rugi, permohonan maaf dan lain-lain, cukuplah akta ini berfungsi menyekat segala akses yang haram dan tipu daripada disebarkan. Saya mengajak agar semua pihak menghentikan budaya berita palsu atau fitnah ini dengan dimulakan melalui media arus perdana kerana sering kali media arus perdana dipergunakan oleh pihak tertentu sebagai bahan pelancar fitnah. Kesannya, dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, selalu media arus perdana dihadapkan ke mahkamah, dan selalu pula mereka kalah. Media utama menjadi penanda aras apakah kempen atau segala akta dan undang-undang berkenaan fitnah itu berkesan atau sebaliknya.

Ingatan ini juga termasuk kepada jentera propaganda, pasukan media di bawah jabatan yang ditubuhkan, askar upahan siber (cyber trooper), golongan keyboard warrior, dan lain-lain yang berperanan menyebarkan maklumat. Upah yang mereka terima bagi menyebarkan dakyah amat kecil nilainya berbanding dosa yang dipikul dan balasan seksaan dari Allah S.W.T di akhirat kelak. PRU ke 14 menentukan siapa yang benar tepati janji, patuh dengan undang-undang yang digubal dan pihak mana yang tidak peduli dengan semua akta atau undang-undang demi kepentingan diri sendiri.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 9/3/2018