PAS usaha rampas kembali Pengkalan Kubor

TUMPAT: PAS berusaha sedaya upaya mengambil kembali Dun Pengkalan Kubor yang terlepas ke tangan Umno sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2004.
 
Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakub berkata, hasil kerja keras semua pihak Dun Pengkalan Kubor tidak dapat dinafikan boleh dikembalikan ke pangkuan PAS  seperti PRU 1999.
 
“Kita hendaklah mengecilkan pertentangan pendapat antara kita, sebaliknya hendaklah membina kesatuan bagi berhadapan pilihan raya yang semakin hampir sekarang,” katanya pada Mesyuarat Agung PAS Tumpat Kali Ke-61 di Dewan Bunga Raya Pantai Seri Tujuh hari ini.
 
Perasmiannya disempurnakan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan turut dihadiri sama Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hasan, Timbalan Yang Dipertua PAS (YDP) Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi, Naib YDP Tumpat, Ustaz Wan Ruslan Wan Hamat, Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Kelantan, Lim Guan Seng dan pimpinan PAS kawasan.
 
Dun Pengkalan Kubor sejak 2004 diwakili calon PKR kecuali pada Pilihan Raya Kecil 2014.
 
Ustaz Ahmad yang juga YDP PAS Tumpat berkata, PAS Kawasan itu amat menghargai pengorbanan bekas YDP, Ustaz Wan Jamil Wan Mahmood yang sanggup memberi laluan kepada Dato’ Kamaruddin Jaffar  bertanding di kerusi Parlimen itu pada 1999.
 
Katanya, Allahyarham secara sukarela memberi laluan kepada calon yang baru menyertai PAS ketika itu.
 
“Allahyarham juga membantu kempen memenangkannya Dato’ Kamaruddin. Ini satu contoh yang patut kita sanjungi, keikhlasan tinggi dalam berjuang,” katanya.
 
Tuan Guru Abdul Hadi pula berkata, PAS mempunyai pelbagai komposisi pendokong parti bagi meneruskan perjuangan, di mana ada yang kuat dan ada juga lemah.
 
“Kalau yang kuat jangan tinggal yang lemah, yang lemah pula jangan berhenti. Hendaklah bergantung antara satu sama lain. Isbiru, Wasobiru dan bersabarlah dengan musuh-musuh kita dengan pelbagai tipu daya mereka.
 
Waraabithu, dan ribatlah, bertugas di mana kita diletakkan. Ulamak, Pemuda, Muslimat, DHPP, Kawasan, Cawangan, yang bersyarah, yang mengajar, yang pacak bendera angkat sepanduk, hendaklah bekerja tempat masing-masing,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/3/2018
Advertisement