Petanda PRU14 semakin hampir

DUNGUN: Petanda awal Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, semakin hampir apabila kelibat Perdana Menteri (PM), Timbalan Perdana Menteri dan Menteri-menterinya selesai menjelajah negeri seluruh negara.
 
Pengarah Pilihanraya PAS Terengganu, Ustaz Ariffin Deraman berkata, PAS Terengganu menjangkakan Parlimen Malaysia akan dibubarkan pada 5 April depan. 
 
Jangkaan itu menurutnya, berdasarkan pengalaman pilihan raya sebelum ini apabila semua pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) selesai melawat negeri-negeri.
 
“Saya jangka 5 April depan Parlimen akan dibubarkan. Perdana Menteri, (Najib Razak) Timbalan Perdana Menteri (Zahid Hamidi) dan Menteri-menteri khususnya di Terengganu ini mereka semua telah hadir (datang) dan kebiasaannya dekat pilihan raya mereka datang. Ini menandakan pilihan raya sangat hampir,” ujarnya.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Markaz Unit Peti Undi (UPU) Tepus dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Besi, di sini kelmarin.
 
Namun jelasnya, PAS tetap bersedia pada bila-bila masa dan berkeyakinan parti itu bakal menjadi pilihan rakyat kali ini.
 
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat menjelaskan bahawa pemimpin tertinggi parti Umno-BN amat bimbang dengan senario politik di Terengganu.
 
“InsyaAllah, kami berkeyakinan PAS akan menang dalam pilihan raya yang ke-14, yang akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang. Mengapa kita (PAS) begitu yakin dengan kemenangan ini? 
 
“PAS, pembangkang dalam Dun Terengganu sekarang kita ada 15 Adun, berbanding 17 Adun Umno-Barisan Nasional. 
 
“Menteri Dato Hishamuddin (Naib Presiden Umno) ketika datang ke Terengganu, membuat kenyataan cukup bimbang jika Umno-BN tidak dapat mengekalkan tampuk pemerintahannya di Terengganu,” tegasnya. 
 
Menurutnya, pertandingan tiga penjuru sudah pasti akan berlaku di Terengganu, tetapi tidak mustahil dengan empat penjuru.
 
“Empat penjuru pun tidak mustahil kerana akan ada calon-calon Bebas yang akan turut bertanding sebagaimana PRU13 lalu. Ini berlaku, apabila ada orang Umno yang tidak puas hati akan bertanding calon tiket Bebas. 
 
“Pada kita (PAS), jika berlaku pertandingan tiga penjuru pun akan memberi keuntungan (menang) kepada kita (PAS), InsyaAllah. 
 
“Saya minta petugas kita di sini (Tepus) supaya bekerja kuat kerana harapan untuk kita menang sangat besar pada pilihan raya kali ini,” serunya. 
 
Hadir sama pada majlis itu, Adun Sura, Cikgu Wan Hapandi Wan Nik dan Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Bukit Besi, Ustaz Ghazali Sulaiman. – HARAKAHDAILY 10/3/2018
Advertisement