Gambaran awal Manifesto PAS PRU14

KUALA LUMPUR: Manifesto PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang akan diumumkan pada esok hari merupakan manifesto terbaik dalam sejarah pilihan raya kerana terkandung gambaran awal sistem Islam dipamerkan di tengah-tengah kemelut melanda rakyat pada hari ini.
 
Memberi gambaran umum manifesto itu, Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, ia menjanjikan kekuatan negara, kestabilan ekonomi, pendidikan dan sebagainya.
 
“Di dalamnya merupakan janji yang terbaik buat rakyat Malaysia jika kita (PAS) diberi kuasa pemerintahan Malaysia. Terbaik buat rakyat tanpa mengira kaum dan agama kerana di dalam itu kita tegaskan juga jaminan untuk mereka yang bukan beragama Islam.
 
“RUU 355 itu perkara yang kita masuk secara umum, kita akan laksanakan syariah Allah termasuklah juga perkara Akta ini dan banyak lagi akta-akta lain yang perlu diubah suai dalam negara kita,” jelasnya pada sidang media Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Bandar Tun Razak Kali Ke-30 di sini pagi tadi.
 
Beliau yang hadir merasmikan mesyuarat agung tersebut berkata, antara intipati Manifesto PAS adalah memansuhkan tol dan GST sebagaimana yang telah diluluskan dalam Majlis Syura Ulama PAS Pusat.
 
Tambah beliau, Manifesto PAS kali ini juga melibatkan Gagasan Sejahtera yang mana ia turut membuka peluang kepada rakan partinya untuk menyatakan sebarang cadangan terhadap Mainfesto PAS itu.
 
“Kita buat siap kemudian kita buka kepada Gagasan Sejahtera kalau dia nak tambah apa ke dan ternyata mereka memang berpuas hati dengan apa yang kita sediakan,” terang beliau. -HARAKAHDAILY 11/3/2018
Advertisement