Pelancaran Jentera PRU Pasir Gudang penuh warna warni

PASIR GUDANG: PAS Kawasan Pasir Gudang telah mengadakan majlis Jamuan Rakyat dan Pelancaran Jentera PRU14 yang dilangsungkan di PASTI Al-Kauthar, Taman Air Biru, di sini kelmarin.

Advertisement

Antara aktiviti turut diadakan ialah sumbangan kepada fakir miskin menerusi ‘Free Market’ yang memperoleh keperluan asas dapur, selain kupon untuk membeli makan dan minum di gerai jualan.

Majlis juga meriah dengan acara sukaneka untuk semua kategori antaranya tiup belon, isi air dalam botol, anyaman ketupat dan ‘Musang Berjanggut’, selain tukar minyak enjin percuma untuk anak muda.

Juga dilangsungkan sempena majlis itu adalah forum berbicara mengenai “Pengundi Muda dan Pertama Kali Mengundi”, selain persembahan oleh Lestari Buskers dari Lajnah Kesenian PAS Negeri Johor.

Paling mendapat sambutan adalah isi petrol percuma yang disumbangkan untuk motosikal dan dilaksanakan di Stesen Petronas Taman Air Biru, serta juga persembahan qasidah dan silat.

Kemuncaknya adalah serahan bendera kepada Ketua-ketua UPU bagi Parlimen Pasir Gudang, Dun Johor Jaya dan Dun Permas yang disempurnakan Adun Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah.-HARAKAHDAILY 12/3/2018