Etika pakaian sopan untuk anak kapal wanita

PEMAKAIAN seksi dan kurang sopan pramugari Muslim terutamanya dalam syarikat penerbangan Malaysia langsung tidak menggambarkan kemurnian Islam yang menjadi agama persekutuan Malaysia.

Advertisement

Perkara tersebut ternyata mendapat perhatian apabila wujud surat komen daripada salah seorang penumpang Air Asia, Dr June Robertson yang mengutuk pemakaian pramugari Malaysia.

Terkini kes dilaporkan seorang penumpang penerbangan Malindo Airlines ke Dhaka telah melakukan aksi yang menjijikkan apabila menyerang pramugari selepas menonton filem lucah melalui komputer ribanya.

Jika dilihat secara dasarnya, hal ini pasti boleh dielakkan sekiranya pramugari mengenakan pakaian yang sopan dan tidak mencolok mata sehingga menaikkan nafsu syahwat mata memandang.

Muslimat PAS komited menyuarakan segala isu berkaitan penjagaan maruah wanita serta menggesa pihak syarikat penerbangan Malaysia mengkaji semula etika pemakaian bagi seorang pramugari sama ada Muslim mahupun bukan, agar mematuhi syari’at dan juga memberikan keselesaan semasa bertugas.

Keutamaan untuk menjaga maruah dan peribadi pramugari dengan menampilkan pemakaian sopan dan menutup aurat ini menghasilkan impak positif sekali gus membina akhlak saling menghormati antara penumpang dan anak kapal yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama dan budaya.

Muslimat PAS memandang positif langkah ini mampu menampilkan imej Islam yang sentiasa meninggikan darjat dan kedudukan wanita. Dakwah juga dapat disampaikan secara tidak langsung kepada semua penumpang melalui pakaian yang sopan dan menutup aurat.

Syari’at untuk menutup aurat yang diaturkan Allah S.W.T buat wanita bukan untuk menyusahkan, malah untuk menjaga maruah dan kehormatan wanita itu sendiri.

Kita melihat telah banyak berlaku gangguan seksual terhadap wanita dan kanak-kanak di seluruh Malaysia seolah-olah ianya telah menjadi ketagihan tidak bernoktah dalam masyarakat kini.

Muslimat PAS mengemukakan cadangan etika pemakaian pramugari Muslim mestilah menutup aurat (termasuk memakai tudung), manakala bagi yang bukan Islam, mestilah berpakaian sopan, tidak terlalu ketat dan singkat.

Justeru Muslimat PAS menyeru dan mengajak semua pihak agar merasa bertanggungjawab dalam memastikan aurat dan maruah wanita terpelihara khususnya buat wanita Muslim serta seluruh wanita umumnya.

NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
13 Mac 2018 bersamaan 26 Jamadilakhir 1439 – HARAKAHDAILY 13/3/2018