Manifesto GAGASAN kembalikan makna politik sebenar

KUALA LUMPUR: Sembilan teras utama yang diperkenalkan PAS bersama Gagasan Sejahtera dalam Manifesto GAGASAN merupakan tunjang mengembalikan semula makna sebenar berpolitik.

Advertisement

Malahan, ia merupakan kesinambungan mekanisme berpolitik berpandukan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), Dokumen Hijau dan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS).

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan berkata, biarpun ada pihak beranggapan politik hari ini bukan politik sebenar yang diamalkan, namun dalam Islam politik sentiasa berpijak di bumi yang nyata.

“Politik Islam datang atas nama ‘ubudiyyah iaitu ketaatan kepada Allah S.W.T dan mengembalikan makna sebenar sifat ketaatan seorang hamba, masu’uliyyah iaitu tanggungjawab yang dipikul sebagai seorang yang diberi amanah, jauh dari soal membangga diri dengan pangkat dan jawatan dan itqan iaitu bersungguh-sungguh dalam menunaikannya.

“Inilah prinsip utama dalam pemerintahan Kerajaan Negeri Kelantan sejak dipimpin Almarhum Tuan Guru Nik Abd Aziz yang diteruskan legasinya sehingga kini yang turut mendapat pengiktirafan SPRM sebagai negeri yang bersih dan bebas dari rasuah.

“Tambahan pula, Laporan Ketua Audit Negara 2016 menunjukkan Pejabat Menteri Besar dan SUK Kerajaan Negeri Kelantan memperolehi markah 99 peratus dalam laporan berhubung prestasi pengurusan kewangan berdasarkan indeks akauntabiliti jabatan/agensi pada 2016,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Gagasan Sejahtera semalam dalam satu sidang media semalam di Pejabat Agung PAS, di sini mengumumkan 9 teras utama yang menjadi nadi kepada Manifesto GAGASAN dengan tema “Malaysia Sejahtera”. – HARAKAHDAILY 13/3/2018