PAS optimis peluang semasa di Selangor

KUALA LUMPUR: Perkembangan semasa termasuk beberapa konflik yang terjadi menyaksikan sedang berlakunya arus perubahan kepada landskap politik negeri Selangor.

Advertisement

Namun, situasi tersebut meletakkan PAS di posisi paling positif untuk memimpin perubahan rakyat, seterusnya merealisasikan matlamat parti itu menerajui negeri Selangor.

Terkini, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah mengadakan pertemuan bersama bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Difahamkan perbincangan mereka berkisar mengenai peranan bakal digerakkan Tan Sri Khalid khusus untuk membantu PAS dalam PRU14 terutama di negeri itu.

Dr Samsuri ketika ditanya mengakui bahawa mutakhir ini suasana dalam kalangan rakyat Selangor sudah menampakkan perubahan di mana semakin menyedari kepincangan pentadbiran negeri.

Bahkan katanya, krisis air yang sedang berlaku hingga menjadi sindiran dalam sesi Dewan Rakyat semalam.

Tambahnya lagi, pertemuan tersebut merupakan usaha PAS yang sentiasa bersedia untuk mentadbir Selangor jika diberikan mandat serta kepercayaan dalam PRU akan datang.

Tegas beliau yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS, parti itu komited membawa aspirasi rakyat pada setiap segmen dan tanggungjawab sebagaimana digariskan dalam Manifesto GAGASAN.

Selain isu air yang menyebabkan kemampuan dan kredibiliti pentadbiran Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali diragui, perbalahan terbuka beliau dengan pimpinan PAN juga meretakkan keyakinan rakyat Selangor.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Mohd Faizal Abu Bakar yang juga Ketua Cabang PKR Hulu Selangor telah menyertai PAS.

Pengisytiharannya itu bersama empat yang lain terdiri dari bekas Ahli Jawatankuasa AMK dan bekas Pemuda Umno termasuk anggota Gerak Gempur Umno.

Penyertaan mereka secara rasmi itu telah diumumkan sempena Jelajah Gelombang Hijau atau Green4U Selangor Sejahtera Dewan Pemuda PAS Selangor di Hulu Selangor, 11 Mac baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 13/3/2018