Zahir PAS dekati kerajaan, tapi perasaan PH bersekedudukan BN

SAYA tidak akan sekali-kali menafikan dakwaan PAS kini lebih lunak dengan kerajaan. Pimpinan PAS memang kerap menyertai program anjuran kerajaan berbanding dahulu. PAS juga mengambil sikap tidak menyerang kerajaan semberono tanpa fakta dan bukti. Selain itu PAS banyak berbincang dengan kerajaan serta mencadangkan beberapa perkara untuk penambahbaikan pentadbiran negara, dan sebahagiannya telah pun diimplementasikan oleh kerajaan.

Advertisement

Hal ini kerana PAS memperkenalkan atau dalam bahasa lebih tepatnya mendokumentasi dan menguatkuasakan konsep politik baharu yang dikenali sebagai Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). Politik ini bercanggah dengan budaya politik konvensional yang menganggap kerajaan sebagai musuh pembangkang. BPMS juga menolak budaya politik untuk tujuan berebut kuasa semata-mata.

Presiden PAS pernah mengeluarkan kenyataan bahawa PAS bersedia menjadi penasihat yang bebas kepada kerajaan. PAS sedia untuk dijemput ke mana-mana agensi mahupun jabatan yang kebuntuan dalam mencari solusi merawati penyakit negara. Ini kerana PAS memiliki anggota dari berbagai profesion dan kepakaran. Tetapi tidaklah bermaksud PAS mendamba posisi khusus dalam kerajaan. PAS lebih selesa sebagai badan pengimbang kepada kerajaan.

Walau bagaimanapun, PAS sehingga kini masih belum memiliki apa-apa hubungan rasmi dengan mana-mana parti pemerintah. PAS membentuk tahaluf bersama parti dan NGO dalam pakatan Gagasan Sejahtera (GAGASAN). Dengan erti kata lain, PAS menolak untuk bergabung sama ada dengan BN mahupun PH kerana kedua-duanya pada masa ini tidak menepati syarat yang diharuskan untuk bertahaluf menurut ijtihad Majlis Syura Ulamak PAS.

Apa yang pelik, puak-puak PH daripada pemimpin tertinggi hinggalah yang bertaraf macai semuanya memutar belitkan pendirian PAS ini sebagai helah untuk bergabung dengan Umno. Dimainkan siang dan malam dengan harapan berjaya memperbodohkan rakyat dengan persepsi jahat. Setiap kali berucap sama ada di Parlimen, pentas ceramah, wacana, mahupun dalam tulisan, pasti elemen UG diselitkan.

Hakikatnya, hati dan jiwa PH lebih dekat dengan BN. Walaupun mereka tampak bermusuh, tapi dari segi perangai dan perilaku, mereka ibarat adik beradik kembar. Berikut antara sikap mereka yang boleh dijadikan contoh:

i)     BN dan PH kedua-duanya tidak bersih dari siasatan SPRM. Mengikut dakwaan agensi pencegahan rasuah itu, 71 orang pemimpin BN dan 21 dari PH dalam siasatan mereka antara 2013 hingga 2017. PAS pula 0.

ii)     BN dan PH kedua-duanya menukar Dewan Rakyat menjadi medan maki hamun, mencarut dan haru-biru. Bodoh, bangang, bacul, apa sahaja ayat yang tidak melambangkan moral dan nilai Timur boleh didengari di Parlimen. Macam reban ayam pun ada dibuatnya. Tetapi PAS boleh menukar Dewan Rakyat menjadi bilik kuliah dan wacana ilmiah.

iii)     BN dan PH kedua-duanya berkongsi matlamat menjatuhkan PAS di Kelantan. Isu Pasar Pasir Puteh digunakan kedua-dua mereka untuk memburukkan kerajaan negeri. Mengikut kenyataan Timbalan Menteri Besar, kebanyakan peniaga yang berdegil adalah penyokong Umno. Tetapi PAN turut menumpang mereka atas tujuan yang sama.

iv)     BN dan PH kedua-duanya tidak serius dalam isu perundangan Islam. RUU355, RUU164, isu murtad, kita boleh lihat ketidak konsisten kedua pihak ini walaupun majoriti pemimpin mereka dari kalangan orang Islam. Begitu takut dengan ugutan sebahagian bukan Islam yang tidak mahu Islam dimartabat.

v)     BN dan PH kedua-duanya suka guna pendekatan lompat parti dan curi kerusi. Masa pilihan raya bertanding atas tiket parti A, tetapi lepas pilihan raya suka-suka hati tukar parti pula. Tetapi PAS sangat tidak bersetuju dengan sikap tak bermoral dan tidak menghormati pengundi ini. PAS mendesak supaya akta anti lompat parti diperkenalkan.

vi)     BN dan PH kedua-duanya mengakui GST cukai paling efisyen. Keduanya tidak mahu memansuhkan akta GST. Cadangan PH hanya mahu mengenakan kutipan pada kadar 0 peratus, dan berkemungkinan akan dinaikkan dari semasa ke semasa. Cadangan terbaharu PH, mengembalikan cukai SST yang sudah dimansuhkan kerajaan, tetai masih tidak jelas apakah akta GST akan dimansuh.

vii)     BN dan PH kedua-duanya memiliki pemimpin yang berperanan seperti badut. Menghiburkan pemerhati politik. Kalau BN ada Ahmad Maslan, PH ada Hanipa Maidin.

viii)     BN dan PH kedua-duanya menuduh PAS mempergunakan agama. Tetapi hakikatnya mereka sendiri mempergunakannya. BN sudah pandai bercakap bab taat, wala, yahanana, dan berhasrat tubuh Dewan Ulama. PH pula befatwa berdosa undi PAS. DAP yang sekular itu pun lantik agamawan untuk urus isu agama.

Banyak lagi contoh yang boleh menunjukkan perkongsian hati dan jiwa kedua gabungan parti politik ini. Walaupun mereka tampak bergaduh, tetapi dari dimensi lain mereka sebenarnya begitu dekat. Benci tapi rindu.

Kata orang, biasanya yang selalu bergaduh akhirnya akan berkahwin. Maka tak mustahil kalau keadaan mendesak, kedua anjing dan kucing ini boleh berkahwin selepas PRU14 nanti. Politik itu seni seribu kemungkinan.

27 Jumadal Ukhra 1439
14 Mac 2018

ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 14/3/2018