Permainan ‘wayang’ MP Pagoh bakal makan diri

FITNAH dilemparkan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyokong Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) terlalu dangkal dan hanya memalukan dirinya.

Advertisement

Beliau sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri bukan sahaja tergagap-gagap tatkala diminta bukti, bahkan sedang berucap di Dewan Rakyat yang dipenuhi rujukan dan fakta. Namun, keangkuhan diri menghalang beliau menarik balik tuduhannya itu.

Lebih malang, jika diteliti skrip sama itu sebenarnya terdahulu dimainkan TV3 dan Utusan Malaysia yang telahpun dijawab. Tetapi manusia terbuang ini rupanya enak mengitar sampah yang pernah menjadi sebahagian hidupnya semasa di dalam Umno.

Kini bersama dahan rapuh PH pun, Muhyiddin tanpa segan silu bersumberkan lagi media milik Umno itu yang membenar dan mensahihkan pengakuannya seawal dipecat bahawa “Saya totok Umno” dalam majlis di Panchor, Pagoh. Hakikatnya, kebusukan PH dan Umno sama sahaja.

Beliau hanya mengundang ketawa dan mungkin dijangkiti penyakit mudah lupa setelah kembali akrab bersama Tun Dr Mahathir Mohamad. Di mana GST diluluskan semasa beliau masih sebagai TPM dan tidak pernah menyatakan bantahannya.

Bahkan kini bersama PH, beliau hanya menyokong pemansuhan GST, namun bakal diganti SST. Hanya PAS satu-satunya pihak masih konsisten menentang GST hingga hari ini. Melainkan PH yang sentiasa memomokkan secara salah dan lapuk sebagaimana dilakukan Muhyiddin.

Terbaharu PAS bukan sahaja menyenaraikan komitmen memansuhkan GST dalam Manifesto GAGASAN, malah menerusi Dokumen Hijau menyatakan alternatif ganti yakni dari cukai saham dan cukai korporat.

Malah, lebih tegas lagi apabila PAS telah memutuskan dalam Muktamar Tahunan bahawa GST hukumnya haram di sisi syarak. Maka, perkara hukum sama sekali tidak mungkin dilangkaui orang beriman, kecuali ingkar dan mustakbirin.

Tan Sri Muhyiddin kami ingatkan untuk tidak perlu mempertahankan keangkuhan dirinya yang lebih buruk dari tahi GST dengan pelbagai skandal pernah terpalit. Kini PAS Kawasan Pagoh lebih bersemangat, memastikan keegoan itu dilenyapkan pada PRU nanti.

“Sejahtera Bersama Islam”

AHMAD NAWFAL MAHFODZ
Pengarah
Jentera Pilihan Raya PAS Kawasan Pagoh
merangkap Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 15/3/2018