Projek Baiti Jannati: PAS baiki rumah dhaif

KUALA TERENGGANU: PAS Kawasan Kuala Terengganu melaksanakan tanggungjawab sosialnya bagi membantu membaik pulih sebuah rumah penduduk yang hampir runtuh.
 
Yang Dipertua PAS (YDP) Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sebuah rumah yang didiami satu keluarga terpilih dalam Projek Baiti Jannati ini.
 
Menurutnya, bahagian dapur rumah itu rosak teruk dan hampir runtuh itu disedari oleh petugas PAS sejak sebulan lalu.
 
“Setelah diviralkan, kita (PAS) mengambil tanggungjawab sosial untuk membantu membaiki bagi keselesaan pemiliknya.
 
“PAS Kawasan Kuala Terengganu ucap terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi pelbagai jenis sumbangan bagi menyiapkan projek ini, sama ada dalam bentuk wang ringgit, barangan dan tenaga. 
 
“Semangat ukhuwwah dan persaudaraan sesama Jemaah. Projek ini atas dasar tanggungjawab secara bersama, bergotong-royong. Saya minta maaf jika sebelum ini ada yang kita terlepas pandang,” ujarnya dalam ucapan ringkas.
 
Beliau berkata demikian pada majlis ringkas penyerahan hak milik bahagian rumah projek Baiti Jannati PAS Kuala Terengganu, di Kampung Losong Haji Mohamad, di sini semalam. 
 
Hadir sama meraikan majlis itu, Setiausaha PAS Kuala Terengganu, Ustaz Mohd Soud Said, Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Bandar, Ustaz Ahmad Shah Mohamed, Ketua Lajnah Kebajikan PAS Kuala Terengganu, Ustaz Salleh Abdullah serta wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) dari Imam Care dan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Terengganu (YAMCT).
 
Sehubungan itu, maklum Ustaz Wan Sukairi, pihaknya tidak menghalang jika ada mana-mana pihak dan agensi kerajaan yang mahu membantu keluarga terbabit.
 
Ini kerana terangnya, selepas kisah keluarga berkenaan diviralkan di media sosial, banyak pihak sudi membantunya termasuk di kalangan parti politik pemerintah.
 
“Kita (PAS) tidak pernah menyekat jika ada pihak lain yang juga mahu membantu keluarga ini. Baik dari mana-mana parti, Maidam (Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu) atau individu lain. 
 
“Jika dari Umno sekali pun untuk bagi bantuan, kita (PAS) tidak jadi masalah dan itu menjadi hak tuan rumah yang berkenaan,” jelasnya.
 
Menurutnya, kos memperbaiki rumah berkenaan yang bersaiz 20 x 14 kaki persegi itu membabitkan kewangan sebanyak RM20,000 dari sumbangan orang ramai. -HARAKAHDAILY 16/3/2018
Advertisement