Apa perlunya PAN menjadi apologis untuk DAP?

MEMBACA tulisan Pengarah Komunikasi PAN Selangor, Jamzuri Ardani, di dalam akhbar Amanah keluaran terbaru, Edisi 93, 11-17 Mac 2018, terbukti jelas bahawa tahap pemimpin PAN hanyalah tidak lebih daripada menjadi apologis untuk DAP.
 
Tulis Jamzuri Ardani: “Ada kawan bertanya, kalau betul DAP bukan anti-Islam kenapa DAP menentang RUU 355 yang bertujuan untuk memperkasa Mahkamah Syariah dan hanya melibatkan rakyat beragama Islam? Jawapan saya mudah. DAP menolak RUU 355 yang diusulkan oleh PAS di Parlimen bukan kerana parti itu anti-Islam, tetapi kerana kalau dia tidak tolak RUU 355 maka parti itu akan hilang undi dan akan kalah dalam pilihan raya. Tidak ada parti politik yang sengaja mahu menempah maut dalam politik demokrasi, maka begitulah juga DAP.”
 
Lihatlah sahaja betapa bersungguhnya Pengarah Komunikasi PAN Selangor ini mempertahankan DAP sehingga sampai ke tahap terlalu kreatif dengan memberikan alasan penolakan RUU 355 oleh DAP dengan alasan yang seingat saya para pemimpin DAP sendiri pun tidak pernah berikan.
 
Alasan penolakan RUU 355 oleh DAP yang diberikan Pengarah Komunikasi PAN Selangor ini sangat tidak boleh diterima oleh akal yang waras kerana:
(1)     Ia mengandaikan bahawa pengundi bukan Islam menolak RUU 355 atau bersikap anti-Islam dan para pemimpin DAP terpaksa mengikut sahaja kehendak pengundi bukan Islam ini supaya mereka tidak akan hilang undi dan akan kalah dalam pilihan raya sedangkan tiada sebarang dapatan kajiselidik yang menunjukkan begitu.
(2)     Ia bertentangan dengan dapatan kajiselidik yang dijalankan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) yang diketuai oleh Datuk Prof Dr Mohammad Redzuan Othman pada 1 hingga 16 September 2012 yang menunjukkan 24 peratus masyarakat Cina menyokong hukuman hudud. 
(3)     Ia bertentangan dengan dapatan kajiselidik yang dijalankan oleh Merdeka Center yang diketuai oleh Ibrahim Suffian pada 12 hingga 21 April 2014 yang menunjukkan 26 peratus responden Cina dan 26 peratus responden India menyokong hukuman hudud. 
(4)     Ia bertentangan dengan dapatan kajiselidik yang dijalankan oleh UCSI Poll Research Centre yang diketuai oleh Prof Dr Ngerng Miang Hon yang menunjukkan hudud tidak memberi sebarang kesan ke atas pengundi bukan Melayu di dalam PRK Teluk Intan pada 31 Mei 2014 dengan hanya 12 peratus mengambil berat mengenainya.
(5)     Ia bertentangan dengan dapatan kajiselidik yang dijalankan oleh Wan Saiful Wan Jan yang baru sahaja diterbitkan oleh ISEAS – Yusof Ishak Institute bertajuk “Trends in Southeast Asia (2018: No. 2)” yang menunjukkan 71 peratus daripada masyarakat Melayu Johor berpendapat DAP adalah anti Melayu dan anti Islam. 
 
Saya tertanya-tanya apa perlunya para pemimpin PAN menjadi apologis untuk DAP, kenapa tidak dibiarkan sahaja para pemimpin DAP mempertahankan parti mereka, tambah-tambah lagi di dalam isu yang amat sensitif seperti isu Islam ini. 
 
Apatah lagi bila dapatan kajiselidik Ibrahim Suffian itu menunjukkan 71 peratus responden Melayu menyokong hukuman hudud manakala dapatan kajiselidik Wan Saiful Wan Jan pula menunjukkan 90 peratus daripada masyarakat Melayu Johor berpendapat peningkatan keagamaan adalah bagus. – HARAKAHDAILY 17/3/2018
Advertisement