Bekas pelajar PASTI cemerlang SPM 2017

KUALA TERENGGANU: Seorang bekas pelajar PASTI As-Solihin dari Kampung Gong Tok Nasek, Dun Batu Burok, Kuala Terengganu dinobatkan pelajar paling cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SMP) di Terengganu. 
 
Pelajar berkenaan, Mohammad Syauqellah Razali, 18, telah diumumkan sebagai pelajar cemerlang SPM 2017 peringkat negeri Terengganu.
 
Harakah dimaklumkan, ibu Mohd Syauqellah iaitu Zainab Yusof merupakan tenaga pengajar di PASTI As-Solihin sejak lebih 16 tahun lalu.
 
Sehubungan itu, Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah merakamkan ucapan tahniah dan selamat maju jaya kepada semua pelajar yang menduduki SPM 2017 lalu.
 
“Kami daripada PAS Kuala Terengganu mendoakan semoga anak-anak para pelajar dipermudahkan Allah S.W.T dalam jihad menuntut ilmu supaya dapat menjadi generasi pewaris kepada perjuangan Islam khususnya di negeri Terengganu yang dicintai ini. 
 
“Pelajar (Syauqellah) ini pernah mendapat pendidikan pra-sekolah PASTI yang kita (PAS) tubuhkan dan selepas itu belajar di Sekolah Menengah Agama Sheikh Abdul Malik, adalah seorang yatim, anak ketiga daripada empat orang adik-beradiknya.
 
“Dibesarkan dan dididik oleh ibunya, Cikgu Zainab Yusof, seorang tenaga pengajar PASTI As-Solihin sejak lebih 16 tahun lalu, ujarnya selepas mengunjungi pelajar berkenaan,” ujarnya kelmarin.
 
Beliau bersama rombongan menziarahi pelajar cemerlang itu dan diiringi Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Batu Buruk, Ustaz Mohd Soud Said dan Ketua Lajnah Kebajikan PAS Kawasan Kuala Terengganu, Ustaz Salleh Abdullah.
 
Ustaz Wan Sukairi menjelaskan ramai pelajar cemerlang di peringkat menengah rendah PT3 dan SPM sebelum ini pernah mendapat pendidikan pra-sekolah PASTI yang diwujudkan oleh PAS di seluruh negara.
 
Katanya, PAS melahirkan rasa bangga dengan kejayaan itu dan membuktikan pendidikan pra-sekolah PASTI cukup hebat.
 
Pada 15 Mac lalu, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Terengganu telah mengumumkan pelajar cemerlang SPM 2017, Muhammad Syauqellah Razali memperolehi keputusan 11A+, dan dua lagi pelajar cemerlang lain Muhammad Khairul Azri Mohd. Khalid dari Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut dan Nur Ellena Elmie dari SM Sains Sultan Mahmud, Kuala Nerus berjaya memperolehi 9A+. -HARAKAHDAILY 17/3/2018
Advertisement