Bila keluar PAS, serba tidak kena

APABILA keluar PAS, maka dituduh PAS tidak sesuai dengan masyarakat majmuk. PAS hanya boleh kuat dalam organisasi Islam. PAS tidak boleh ubah negara. Saya teringat inilah hujah yang Umno lemparkan lepada PAS sejak sekian lama. Sekarang, hujah ini diambil oleh pembenci PAS. Begitu juga hujah Umno mengatakan PAS tidak layak memerintah, PAS hanya layak mengajar di masjid dan surau. Setelah 28 tahun memerintah Kelantan, PAS mampu membuktikan walaupun ditekan dan dinafikan hak sebagai sebuah negeri yang berdaulat. Namun, PAS mampu mara menuju cita-cita yang suci.

Advertisement

PAS tidak pernah memisahkan PAS sebagai gerakan dakwah dan politik untuk mendapat kuasa. Mungkin sewaktu di dalam PAS tidak sempat hadam perkara ini. Hanya kenal, PAS sebagai partii politik sahaja, Inilah bahananya.

Susah juga manusia dilanda dengan penyakit perasan atau penyakit kagum dengan diri sendiri (I’jab Binafsi). Ini di antara penyakit yang membinasakan sebagaimana Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Tiga perkara yang membinasakan, sifat kikir, ikut hawa nafsu dan bangga diri.”

Mereka ingat apabila mereka meninggalkan PAS, maka PAS akan mati dan semakin menguncup. Telahan ini silap. Berapa ramai pemimpin PAS yang cabut lari dan kutuk PAS yang mereka makan rezeki daripada hasil berjuang di dalam PAS, namun PAS tidak merempat.

Merasakan PAS hebat kerana individu, sedangkan PAS hebat kerana dasar yang ada kepada batang tubuh PAS. Siapa pun memimpin PAS, PAS tidak akan hilang daripada persada politik Malaysia, selagi PAS tidak membuang dasar Islam. Saya masih ingat ketika Almarhum Dato’ Asri Haji Muda meninggalkan PAS, penganalisis politik mengandaikan PAS akan hilang daripada persada politik Malaysia. Tetapi berlaku sebaliknya. Waktu itu masyarakat anggap PAS, “Parti Asri Sekeluarga”. Betapa hebatnya pengaruh Dato’ Asri dengan pidato dan kelicikan politiknya. Apabila beliau tidak ada, muncul tokoh-tokoh penggantinya yang meneruskan agenda perjuangan Islam.

Mereka yang meninggalkan PAS anggap, PAS sekarang berbeza dengan PAS zaman almarhum Tuan Guru Nik Abd Aziz dan Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor. Apa yang beza?. Apakah kedua-dua tokoh ini kemaruk kuasa sehingga menggadaikan prinsip Islam. Bukankah DAP pernah keluar daripada Barisan Alternatif pada tahun 2001, waktu itu kedua-dua tokoh ini masih memimpin PAS. Mereka berdua bertegas mengenai dokumen Negara Islam, walaupun DAP tidak bersetuju. Akhirnya DAP keluar BA. Mereka ingat kedua-dua almarhum kemaruk kuasa sehingga hilang jati diri kot. Saya yakin, kalau kedua-dua tokoh ini ada mereka akan bersama dengan PAS. – HARAKAHDAILY 17/3/2018