PAS, rakyat terus pertahan Kelantan dengan Islam

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُم تُفْلِحُونَ

Advertisement

“Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dalam menghadapi ujian dalam diri kamu sendiri. Dan bersabarlah kamu menghadapi musuh-musuh, lawan-lawan kamu. Dan ribat, bertugaslah kamu dengan bersungguh-sungguh, di mana sahaja kamu diletakkan. Dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu mendapat kemenangan di dunia dan di akhirat.”

(ali-‘Imran: 200)

Kekuatan rakyat Kelantan

Terlebih dahulu saya ucapkan syabas kepada rakyat Kelantan, bersyukur alhamdulillah kepada Allah S.W.T, mengucap tahniah yang setinggi-tingginya kerana kesabaran rakyat Kelantan bersama dengan PAS selama lebih 27 tahun kali yang kedua. Kali yang pertama pernah 20 tahun, rakyat Kelantan bertahan dengan PAS. Kali yang pertama generasi muda barangkali tidak ada lagi. PAS pernah memerintah Kelantan tahun 1959. 

Kerajaan PAS tidak boleh dijatuhkan secara pilihan raya yang bersih, sehingga Barisan Nasional yang memerintah Kerajaan Pusat terpaksa melakonkan huru-hara dan mengisytihar darurat di Kelantan untuk merampas Negeri Kelantan tahun 1979. 

Menunjukkan kekuatan rakyat Kelantan yang sangat hebat. Kali yang kedua kita memerintah lagi tahun 1990 sehingga hari ini, terus diperintah oleh PAS. Insyaa Allah akan terus bertahan sehingga bila-bila masa dengan izin Allah. 

Islam yang menyelamatkan

Minggu lepas, seorang Menteri kerajaan bukan Menteri PAS memberi jawapan di Parlimen, membuat kenyataan hanya pemimpin-pemimpin kerajaan PAS yang tak dipanggil oleh SPRM untuk disiasat. Semua pemimpin parti-parti lain ada yang dipanggil untuk disiasat. 

Kita telah berjaya mewujudkan kerajaan yang bersih, kerajaan yang adil, walaupun kita dikepung dari segenap penjuru. Dikepung dari segi pentadbiran, politik, media, disekat peruntukan, dilambat-lambatkan, dinafikan royalti petroleum. Padahal ada perjanjian Petronas dengan semua kerajaan negeri tahun 70-an. 

Mana-mana negeri yang ada hasil petroleum di darat dan di laut hendaklah dibayar lima peratus kepada kerajaan negeri. Terengganu dirampas bila kita memerintah. Kelantan terus ditiadakan. Namun rakyat Kelantan bersabar, terus bersama dengan Parti Islam Se-Malaysia PAS. Kerana yakin dengan ajaran ulama-ulama yang ramai di Kelantan ini bahawa kita mulia dan selamat dengan Islam. 

Harta sementara sahaja, bukan kita tak mahu harta. Tapi Islam yang menyelamatkan segala-galanya. Saidina Umar Ibnul Khattab R.A pernah menegaskan:

نحن قوم أعزنا الله بالإسلام، فمهما نبتغ العز بغير ما أعزنا الله، أذلنا الله

“Kita adalah umat yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam selagi kita bersama dengan Islam. Sekiranya kita mencari kemuliaan, kehebatan lain daripada Islam, akan menerima penghinaan dari Allah.”

Kelantan mulia dengan Islam. Di mana rahsia kekuatan kerajaan kita? Kita mengikut acuan Allah S.W.T bagaimana mendirikan kerajaan.

Apa kekuatan sebenar?

Dengan kekuatan ini, PAS menubuh Gagasan baharu, Gagasan Sejahtera bersama dengan parti Ikatan, parti dan NGO yang lain akan menentang Barisan Nasional, menentang Pakatan Harapan.

Semua Ahzab, semua parti-parti yang tidak peduli dengan Islam kita akan lawan. Ada orang menganggap politik hanya dua penjuru. Politik kita bukan dua penjuru. Berapa penjuru pun kita hadap. Kekuatan kita mengikut acuan Allah S.W.T:

الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

“Orang-orang yang Kami berikan kepada mereka kuasa memerintah negeri, mereka mendirikan sembahyang, mereka menunaikan zakat, amar makruf (Menyuruh kepada kebajikan) dan nahi mungkar (Mencegah kemungkaran). Dan bagi Allah sahaja akibat segala urusan.”

(al-Hajj: 41)

Apa makna mendirikan solat? Pemimpin yang nak jadi calon PAS mesti yang ada hubungan dengan Allah S.W.T. Ini tonggak kepimpinan kita. Tiap-tiap orang calon yang dipilih wajib diluluskan oleh Majlis Syura Ulamak, bukan ilmunya sahaja, termasuk akhlak dan perangainya, ‘adalahnya dan tidak fasiknya seberapa daya yang boleh. Pemimpin yang kenal dosa dan pahala. Yang mendirikan sembahyang, yang ada hubungan dengan Allah S.W.T. Bukan sahaja masa sembahyang, tapi lepas sembahyang. Disebut:

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

“Segala puji bagi Allah tuhan yang menjadi, mentadbir, memerintah seluruh alam.”

(al-Fatihah: 2)

Bukan sahaja kita menyembah tuhan pada masa sembahyang, kita menyembah tuhan pada masa memerintah negara mengikut syariat Allah seberapa daya yang boleh. 

Tiap-tiap orang calon yang dipilih untuk bertanding pilihan raya mesti melakukan baiah. Apa makna baiah? Daripada bai’, bai’ dengan makna jual. Jual apa? Jual diri dan harta kerana Allah S.W.T:

 إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ

“Allah Taala membeli dari orang yang beriman diri dan harta mereka.”

(at-Taubah: 111)

Allah Taala nak beli. Maka siapa yang nak jadi calon mesti sanggup jual, bai’, melakukan baiah. Baiah adalah rukun politik Islam. Nabi kita Muhammad S.A.W nak mendirikan kerajaan Islam di Madinah, menemui golongan Ansar, Aus dan Khazraj yang sanggup menjual diri dan harta mereka kerana Islam, dilakukan baiah. 

Menolak Bani ‘Amir yang bertanyakan apakah Kabinet bayangan. Bila Nabi S.A.W jumpa Bani ‘Amir, kalau menang siapa jadi ketua? Siapa jadi pemimpin? (Nabi S.A.W menjawab):

الملك لله يؤتيه من يشاء

“Itu kepunyaan Allah.”

Bani Syaiban mengatakan Islam baik, tetapi hanya sanggup menghadapi kabilah-kabilah Arab, tidak sanggup menghadapi kuasa-kuasa besar dunia akan mengepung Islam. Mereka yang sanggup bersama Islam mesti sanggup menghadapi tentangan dari segenap penjuru. Siapa sahaja menyekat, menghalang cita-cita kita, kita lawan. 

Pilihan raya ini kita akan lawan Barisan Nasional. Kenapa? Kerana mereka sudah memerintah 60 tahun, mereka tidak memperkasakan Islam. PAS bersama ketika berjuang untuk kemerdekaan. PAS mendesak bersama meletakkan Islam adalah agama persekutuan, agama-agama lain diberi hak kebebasan. 

Bila Islam agama persekutuan, Islam mesti memerintah. Sekarang Islam tidak memerintah. Islam diperintah. Bukan Islamnya memerintah, Islam diperintah. Ini perbezaan antara PAS dengan Umno, dengan Barisan Nasional, dengan Perikatan dulu. Selagi pendekatan ini tak diubah, pilihan raya ini kita lawan. 

Pakatan Harapan, DAP terang-terang menyatakan penentangan terhadap Islam. Tak setuju dengan Islam. Parti-parti lain yang bersama dengan DAP jadi lembu kenyang, tak berani nak mempertahankan Islam. 

Maka PAS akan bersendirian dengan rakan-rakan Parti Ikatan, akan bertanding pilihan raya ini secara bersendirian dengan rakan-rakan kita menentang Barisan Nasional, menentang Pakatan Harapan. Dengan keyakinan. Insyaa Allah kalau dapat simple majority, boleh memerintah. Ataupun dapat kerusi-kerusi 40, 50, 60 kerusi, menjadikan kita King Maker, semua parti tidak boleh tubuh kerajaan melainkan akan tanya kita. Di masa itu kita boleh meletakkan syarat-syarat yang kita mahu. Kita ada kekuatan. 

Untuk mencapai ini, maka Kelantan mesti dipertahankan, Kelantan mesti dimenangkan. Perjuangan kita bukan Kelantan sahaja, perjuangan seluruh Malaysia. Oleh kerana itulah walaupun Kerajaan Pusat menafikan petroleum, menafikan banyak perkara, Kelantan tidak berjuang untuk membebaskan diri daripada Kerajaan Pusat. Kerajaan (Kelantan) tidak memerdekakan (diri dari) Kerajaan Pusat, kerajaan (Kelantan) masih dalam Malaysia, Kelantan masih dalam Malaysia. Tak macam ada di setengah Sabah dan Sarawak yang anti-Semenanjung, kita tidak. 

Kerana perjuangan kita untuk seluruh Malaysia. Kerana risalah kita, mesej kita untuk seluruh manusia, bukan Kelantan sahaja. Inilah pusaka yang ditinggal oleh Nabi kita Muhammad S.A.W.

Konsep zakat

Yang kedua acuan Allah:

وَآتَوُا الزَّكَاةَ

“Menunaikan zakat.”

(al-Hajj: 41)

Kerajaan yang ada perancangan ekonomi, yang ada hasil negara. Allah menunjukkan konsep zakat:

تؤخذ من اغنيائهم، وترَدُّ إلى فقرائهم

“Diambil dari mereka yang berada, diagihkan kepada mereka yang memerlukan pertolongan.”

Kita menentang GST, kerana cukai GST ini menyusahkan rakyat yang miskin. Walaupun tujuannya untuk mengejar mereka yang mahu melarikan cukai, tetapi kesan inflasi, kesan kenaikan harga barang-barang menyusahkan rakyat. 

Kita menentang SST yang dibawa oleh kerajaan dulu, yang tidak mencapai matlamat untuk memajukan ekonomi negara walaupun mereka yang memerintah ini masa itu memperkenalkan Wawasan 2020. Wawasan 2020 tinggal dua tahun lagi, dia dah lari dah.

Kita ada cadangan kita sendiri, cadangan pendekatan ekonomi Islam, menggantikan GST, SST, dan apa sahaja. Islam pernah memerintah dunia, bukan memerintah negeri yang kecil. Sempadan Islam dari Asia Tenggara sehingga Pantai Barat Eropah, dari Asia Tengah sehingga Afrika Tengah, sebahagian Eropah, Islam boleh memerintah negara masyarakat majmuk. Macam-macam agama, macam-macam kaum. Zaman tak ada kemudahan-kemudahan, alat yang canggih macam sekarang ini, Islam boleh memerintah 1000 tahun lebih. 

Hari ini dunia menyaksikan kegagalan Komunis, kegagalan Sosialis, sehingga Rusia dan China terpaksa mengubahkan dasarnya daripada Sosialis kepada bebas. Dunia menyaksikan kegagalan Liberal Kapitalisma, Amerika dan Eropah, menghadapi masalah. Dunia tak tahu di sana ada Islam. Kita mahu memperkenalkan Islam. 

Pernah mendiang Lee Kuan Yew pemimpin politik Singapura yang terkenal sebelum beliau meninggal dunia, Lee Kuan Yew minta nak jumpa PAS. Kita jumpa Lee Kuan Yew. Soalan dia, apakah dasar PAS dalam hubungan antarabangsa? Hubungan antara kaum?  Dia nak tahu. Saya kata dasar PAS adalah adil untuk semua. 

PAS diajar oleh Quran mendahulukan perdamaian. Islam adalah agama semasa, agama semasa agama terkini. Kita akan baca peta Asia Tenggara yang ada pada hari ini kita tak baca peta Asia Tenggara 200 tahun yang lalu. 

Islam boleh mentadbir, jangan bimbang. Mentadbir semua kaum, semua bangsa, ini diajar oleh Quran. Kalau kalangan bukan Islam boleh menerima idealogi-idealogi Barat, Komunis, Kapitalis, Sosialis, macam-macam yang bukan daripada Cina, daripada India, mengapa mereka tak boleh terima Islam? Beri peluang kepada Islam. 

Sayangnya, bila kita menang di Kelantan, dia sekat-sekat. Tahun 1990, bila kita luluskan Undang-undang Syariat Negeri Kelantan, Perdana Menteri di masa itu tulis surat kepada Tok Guru, kalau kerajaan (Negeri Kelantan) laksanakan syariat Islam ini, kalau Kelantan laksanakan, Kerajaan Pusat akan bertindak. Dia beri amaran nak bertindak terhadap Kelantan. 

Namun kita bertindak dengan bijak. Kita tidak gopoh. Kita laksanakan apa yang boleh kita buat. Kita tangguh dulu apa yang kita tak boleh buat. Yang mengembirakan kita rakyat Kelantan bersabar dengan apa yang kita boleh buat. 

Kita telah berjaya memakmurkan rakyat Kelantan. Rakyat Kelantanlah yang memakmurkan ekonomi orang Islam di Kuala Lumpur, memakmurkan ekonomi orang Islam di Johor, Singapura dan Pulau Pinang. Rakyat Kelantan yang memakmurkan pusat-pusat pengajian tinggi. Rakyat Kelantan yang ada di Kelantan mempertahankan Kelantan dan mereka sanggup balik mengundi di Kelantan. Amalan ini mesti diteruskan. Insyaa Allah dengan pendekatan ini, kita mendapat pertolongan Allah S.W.T.

Negara berkebajikan

وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ

(al-Hajj: 41)

Negara yang berkebajikan, bukan welfare state, bukan kebajikan masyarakat. Kebajikan yang umum, kebajikan dalam hubungan dengan Allah, hubungan dengan diri, hubungan dengan keluarga, kebajikan yang ada dosa pahala dari dunia sehingga akhirat. Bukan kebajikan sekadar untuk menang pilihan raya. Kebajikan yang percaya kepada perhitungan Allah S.W.T. 

Dengan berkat berkebajikan ini, orang Kelantan tak mati di bawah PAS. Orang Kelantan boleh hidup dengan PAS. Ketika negara menghadapi masalah inflasi, kenaikan harga barangan, barangan Kelantan lebih murah daripada negeri-negeri lain. Lebih aman daripada negeri lain. 

Bodohkah orang Kelantan pilih PAS selama 27 tahun? Tidak, tidak sekali-kali. Kalau kita kata bodoh, bodohlah pilih Islam. Ini petunjuk yang kita pohon tiap-tiap rakaat:

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ

“Tunjukkanlah kami jalan yang betul.”

(al-Fatihah: 6)

Tiap-tiap rakaat kita minta dalam sembahyang kita. Inilah dia, bukan masa sembahyang sahaja, termasuk semasa berpolitik dan memerintah negara.

Dengan semangat yang ada pada malam ini, terutamanya kebangkitan orang-orang muda yang bangkit sama untuk mendukung kerajaan negeri. Walaupun mereka tak bersama tahun 50-an, mereka tak menyaksikan awal tahun 1990, mereka menjadi mata rantai yang menyambung perjuangan Islam. 

Boleh jadi perjuangan ini bersambung panjang, bukan masa saya, masa generasi muda. Tetapi wawasan kita bukan Wawasan 2020, wawasan kita daripada dunia sehingga hari akhirat. 

Mudah-mudahan Allah memberkati semua. Saya ucap terima kasih. Mudah-mudahan Allah Taala memberkati rakyat Kelantan, Allah Taala memberi pahala yang sangat besar kerana mereka menjadi contoh kepada seluruh rakyat Malaysia bersama dengan Islam.

(Teks transkrip dari ucapan Presiden PAS dalam Ceramah sempena Himpunan Bangkit Pertahan di Padang Perdana Kota Bharu semalam yang disediakan oleh Pelatih Harakah, ZAID MD ADHAR) – HARAKAHDAILY 17/3/2018