Pertahan Islam di Kelantan demi masa depan

SAYA nak sebut sebab apa kita ini mesti mempertahankan kerajaan “Membangun Bersama Islam” yang telah dimulakan oleh Almarhum Tok Guru pada tahun 1990. Sebabnya banyak.

Advertisement

Cuma dalam kesempatan yang ada pada malam ini ada dua perkara yang besar. Yang pada pandangan saya sudah cukup untuk menjadi alasan sebab apa kita kena pertahankan Kerajaan Kelantan. Saya pernah sebut perkara ini sekali dua dalam ceramah-ceramah yang lepas. Tetapi boleh jadi sebahagian daripada kita tidak ingat dan ada yang mungkin tidak dengar.

Dua perkara yang penting ini ialah, 20 tahun dulu, ataupun 27 tahun dulu, orang tidak fikir dan orang tidak yakin bahawa Islam ini boleh menjadi dasar pentadbiran dan dasar pemerintahan di dalam dunia moden pada hari ini.

Islam sebagai dasar kerajaan

Tetapi bila kita menang tahun 1990 di Kelantan, kita berjaya memecahkan pemikiran ini dan kita setelah 27 tahun, kita berjaya membuktikan kepada bukan hanya orang Kelantan, bukan hanya masyarakat di Malaysia. Tetapi kita berjaya membuktikan kepada seluruh dunia bahawa Islam ini boleh menjadi dasar kepada kerajaan dan boleh menjadi dasar kepada pemerintahan sebuah negara dalam dunia moden dan dalam masyarakat majmuk sepertimana yang ada di Malaysia.

Rekod 27 tahun ini bukan rekod yang pendek. Satu rekod yang panjang dan kita telah membuktikan kemampuan Islam. Sejarah dulu telah buktikan Islam ini boleh menguasai dunia. Bermula di tanah yang kering kontang di Makkah, berkembang menjadi satu empayar pada zaman Khulafa ar-Rasyidin, dan akhirnya berjaya memerintah dunia pada zaman Kerajaan Turki Uthmaniyah. Sehinggalah Kerajaan Uthmaniyah jatuh pada tahun 1924.

Lepas daripada itu, orang tidak nampak Islam ini boleh naik. Tetapi kita ini menjadi satu benih yang baru, cetusan yang baru pada zaman moden, bagaimana menggunakan pendekatan demokrasi melalui peti undi kita boleh menguasai kerajaan. Dan kita boleh bergerak dalam sistem demokrasi moden, mendapat sokongan yang meluas daripada masyarakat sebagaimana yang kita tengok pada malam ini.

Bukan sahaja orang Melayu, bukan sahaja orang Islam, orang yang bukan Islam sendiri, ucapan Cikgu Lau itu sudah cukup menjadi bukti penerimaan orang-orang bukan Islam terhadap dasar “Membangun Bersama Islam”.

Kita sebagai orang Melayu yang beragama Islam, hat duduk dalam biru, hat duduk dalam oren, hat duduk dalam merah patut malu dengan Cikgu Lau. Walaupun dia bukan seorang Islam, tapi dia nampak, dia nampak dan dia yakin dengan kebaikan yang ada dalam dasar dan juga sistem Islam. Ini satu kejayaan yang besar yang telah kita capai dalam masa 27 tahun.

Ulama boleh memimpin

Yang kedua yang besar dulu, orang tak boleh fikir ustaz ataupun kita guna istilah ulama ini boleh menjadi pemimpin kerajaan. Orang duduk fikir orang hat jenis mengaji ilmu-ilmu moden sahaja yang boleh jadi Menteri Besar, yang boleh jadi Perdana Menteri, yang boleh jadi Menteri, yang boleh jadi Exco. Tetapi dengan dasar “Membangun Bersama Islam”, kita pecahkan sekali lagi benda ini. Kita lantik seorang ulama menjadi Menteri Besar di Kelantan. Dan ulama ini berjaya memecahkan banyak pemikiran-pemikiran negatif dan mencetuskan suatu aura perubahan yang besar, bukan hanya di Kelantan, tetapi di seluruh negara.

Dan hari ini kepimpinan ulama ini disambung pula oleh orang yang dipilih oleh Tok Guru. Menteri Besar hat ada hari ini ini, orang yang Tok Guru pilih. Dan orang ini meneruskan tapak yang sudah dibina oleh Tok Guru.

Jadi dua benda besar ini, adalah kejayaan kita di Kelantan. Hasil daripada kebijaksanaan pengundi-pengundi yang ada di Kelantan. Bukan sahaja orang Melayu, bukan sahaja orang Islam, tapi daripada berbagai bangsa daripada berbagai ugama.

Pertahan Kerajaan Kelantan

Maka sebab itulah tanggungjawab kita hari ini selepas 27 tahun, tahun ini masuk 28 tahun, kita kena pertahankan kerajaan ini bukan untuk siapa-siapa, bukan untuk Menteri Besar, bukan untuk Timbalan Menteri Besar, bukan untuk Exco. Tapi kita kena pertahankan untuk diri kita semua, untuk kita, untuk anak kita, untuk cucu kita, dan yang lebih besar ialah untuk seluruh masyarakat yang ada di Kelantan dan masyarakat yang ada di Malaysia.

Kita yakin dengan dasar Islam ini kalau kita boleh kukuh di Kelantan, kita boleh melebarkan pengaruh ini di luar daripada Kelantan, dan kita insyaa Allah dengan izin tuhan akan menguasai negara ini pada masa yang akan datang.

Perubahan-perubahan yang berlaku pada hari ini menambahkan lagi keyakinan kita. Walaupun boleh jadi orang kata bila agaknya PAS ini nak boleh benih? Pakat dengan orang pun kalah, sampai hari ini PAS ini seolah-olah duduk seorang.

Kita dalam Gagasan Sejahtera ini orang anggap kita ini bersendirian seorang. Tetapi kita kena kalau kita baca dalam sejarah, Rasulullah S.A.W bermula seorang diri saja di Gua Hira’. Lepas itu isteri dia Khadijah. Lepas itu anak angkat dia Saidina Ali, sepupu dia, anak angkat dia. Lepas itu seorang, lepas seorang, lepas seorang masuk Islam, walaupun dia dihalau keluar daripada Makkah, tapi akhirnya berjaya menubuhkan negara Islam di Madinah.

Dan akhirnya Islam ini tersebar bukan hanya seluruh Tanah Arab, tapi seluruh dunia sampai kita yang ada di Semenanjung Tanah Melayu di Asia ini pun menerima Islam tersebut.

Berdasarkan sejarah ini kita yakin dengan tapak yang ada di kita di Kelantan ini, kalau kita boleh pakat-pakat pertahan, kita boleh jaga dengan baik, insyaa Allah tapak ini akan berkembang…

Peluang PAS dan Gagasan Sejahtera

Dan hari ini kita tengok orang sudah kecewa dengan Kerajaan Barisan Nasional. Bukan orang lain, Mahathir sendiri pun frust dah dengan Barisan Nasional. Walaupun penyakit yang ada dalam Barisan Nasional itu hat dia buat. Tapi dia sendiri sudah kecewa. Dan orang pun bila dia masuk Pakatan Harapan, Pakatan Harapan ini hilang harapan.

Waktu Mahathir tak ada boleh jadi ada harapan. Bila Mahathir masuk harapan, hilang. Sebab Mahathir ini bawa penyakit yang banyak. Orang kata baggage politiknya terlalu banyak. Dia nak cuba ganti Kerajaan Barisan Nasional yang ada baggage politik, sedangkan dia sendiri pikul baggage politik. Orang yang berpenyakit kurap, nak berubat orang berpenyakit kurap? Tak boleh. Tak boleh. Sebab dia berpenyakit kurap, bukan se (satu) ya, penuh lagi tubuh dia. Dia nak berubat kurap Barisan Nasional? Dia sendiri ada kurap.

Jadi sebab itulah timbul dalam masyarakat kita hari ini undi rosak. Idea undi rosak ini ialah tanda protes generasi muda terutamanya terhadap Barisan Nasional dan juga Pakatan Harapan. Orang kecewa dengan dua-dua ini.

Di sinilah peluang yang ada pada kita PAS bersama-sama dengan Gagasan Sejahtera untuk menawarkan pilihan yang lebih baik kepada masyarakat. Insyaa Allah kalau kita boleh bertahan di Kelantan ini, mengekalkan kerajaan yang ada, usaha kita untuk berkuasa di Malaysia akan menjadi lebih mudah.

Mahathir perang bayang sendiri

Pilihan yang ada pada pengundi yang ada pada hari ini hanya PAS dengan Gagasan Sejahtera sahaja. Sebab Barisan Nasional semua orang tahu, tak payah cerita dah. Pakatan Harapan pun ada masalah. Nak lantik pula Mahathir jadi Perdana Menteri. Orang tahu belaka 22 tahun dah dia jadi Perdana Menteri. Sebahagian besar kerosakan Malaysia ini bermula pada zaman Mahathir jadi Perdana Menteri.

Sebab itulah Almarhum Dato’ Fadzil Noor pernah sebut dalam ceramah dia, dia minta supaya Dr Mahathir ini panjang umur, supaya Dr Mahathir dia boleh tengok masalah-masalah berlaku di Malaysia yang dicetuskan oleh tangan dia sendiri. Tuhan makbul doa Almarhum Ustaz Fadzil. Hari ini Mahathir perang dengan bayang dia sendiri.

Najib ini umpama bayang Mahathir, orang hat dia pilih sebagai Perdana Menteri. La ni dia duduk berlawan dengan bayang dia. Bayang dia ini turut rata dia nak pergi, nak berlawan lagu mana?

Sebab itu saya kata hari ini pengundi yang cerdik di Malaysia ini tidak ada pilihan, kecuali mari bersama-sama dengan kita dalam Gagasan Sejahtera. Ini peluang yang besar yang ada pada kita untuk memastikan kita boleh menang di Malaysia, Kelantan mesti kita pertahankan.

Orang putih kata At what ever cause, tak payah terjemah betul tak? Ke kena terjemah? Dengan apa-apa bayaran sekalipun kita mesti pertahankan Kelantan. Ikut mana pun, kita kena pertahankan Kelantan. Kalau guna istilah yang ganasnya, by hook or by crook. Tapi tak sesuailah kita nak guna hat itu. Kita kena pertahankan Kelantan sebab ini masa depan kita. Kita sebagai orang Islam, inilah masa depan kita, anak kita, cucu kita. Bagi orang bukan Islam pun inilah masa depan. Kerana kita telah beri peluang kepada Barisan Nasional lama dah memerintah Malaysia, bukan sehari dua hari.

PAS bawa idea baru

Pakatan Harapan itu pun ada di Pulau Pinang, ada di Selangor, tuan-tuan boleh buat perubahan ini berlaku. Kita boleh tengok hat mana lebih hat mana kurang. Hat mana baik, hat mana buruk. Dan kita nampak Barisan Nasional ini semakin tidak mampu untuk membuat perubahan di bumi Malaysia ini.

Maka beri peluang kepada kita dalam Gagasan Sejahtera dengan dasar ”Membangun Bersama Islam” yang kita mulakan di Kelantan ini untuk membuat perubahan besar di Malaysia.

Kita ada apa yang kita panggil sebagai WINS, Wawasan Induk Negara Sejahtera. Program pemulihan Malaysia ini tidak kurang daripada 15 tahun. Kalau tuhan takdir kita memerintah Malaysia, inilah program yang kita buat dalam masa tidak kurang daripada 15 tahun untuk memulihkan semula Malaysia. Parti lain tak ada. Pakatan Harapan itu sendiri dalam manifesto dia, duduk ulang barang lama. Tiru hat orang, ulang barang lama.

Tapi kita satu-satunya parti yang membawa satu idea orang kata fresh idea, pemikiran baru, idea baru, wawasan baru melalui WINS, Wawasan Induk Negara Sejahtera. Kita ada Dokumen Hijau. Sebagai suatu penyelesaian kepada isu ekonomi, isu masyarakat, isu pengangguran. Kita ada benda-benda itu.

Orang kata sebab apa tak buat di Kelantan? Ini masalah di peringkat negara, bukan masalah di Kelantan. Kelantan ini sebahagian daripada negara. Kalau negara ini tak boleh pulih, punah, Kelantan pun payah kita nak perbetul.

Kalau kita kata … Dekat rumah ada 14 bilik dalam rumah. Kelantan ini salah satu bilik daripada 14 bilik. Kalau bilik kita sahaja bersih, bilik kita comel, 13 bilik lagi punah, 13 bilik lagi tercemar, 13 bilik lagi rosak, rumah itu sendiri akan rosak. Se bilik hat bilik bersih ini pun akan turut rosak bersama-sama dengan rumah.

Begitulah bandingan kita dengan Malaysia. Masalah besar hari ini duduk di peringkat Persekutuan. Sebab itu kita PAS kita tak boleh cukup dengan di Kelantan sahaja. Kita mesti bawa pemikiran ”Membangun Bersama Islam” ini sehingga ke peringkat nasional, peringkat negara dengan Dokumen Hijau dan juga WINS yang kita sebut tadi.

Ini benda penting untuk kita ingat. Dan ini semua untuk ini anak-anak muda kita untuk generasi kita akan datang. Ambo (saya) ini umur banyak dah, tahun ini 59 tahun. Tua dah. Janggut pun putih. Tapi sebab apa kita bersungguh? Sebab apa kita … Ialah untuk masa depan rakyat yang ada dalam negeri ini rakyat Malaysia.

Orang-orang muda, anak kita, cucu kita, cicit kita, keturunan kita yang sudah melihat keruntuhan, kemusnahan dalam negara ini kerana dasar sekular yang diamalkan dalam semua peringkat. Kita tawarkan benda baru melalui Islam yang merupakan pilihan Allah S.W.T yang tuhan kata:

وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ

“Aku redha kepada kamu Islam ini menjadi pilihan.”

(al-Maidah: 3)

Dasar Islam ini pilihan Allah, bukan pilihan PAS, bukan pilihan Tok Guru. Tetapi Islam ini pilihan tuhan. Mana ada benda lebih baik daripada Islam.

Jadi hat benda hat kita bawa ini benda yang orang semua tak boleh challenge, cuma atas kita. Lagu mana kita bawa? Lagu mana kita laksana? Ini menjadi tanggungjawab kita. Permulaannya pilihan raya ini ikut mana pun, pastikan PAS kekal memerintah Kelantan, dasar “Membangun Bersama Islam” terus menjadi dasar kerajaan yang ada di Kelantan ini insyaa Allah.

(Teks transkrip dari ucapan Naib Presiden PAS dalam Ceramah sempena Himpunan Bangkit Pertahan di Padang Perdana Kota Bharu semalam yang disediakan oleh Pelatih Harakah, ZAID MD ADHAR) – HARAKAHDAILY 17/3/2018