Asal usul Qunut Nazilah

QUNUT Nazilah berasal dari kata Qunut (قنوت) membawa maksud berdoa ketika berdiri dalam solat. Nazilah (نازلة) ertinya: Musibah yang sangat berat.

Advertisement

Peristiwa Bi`rul Ma`unah

Seorang yang bernama Abu Barra` bin Malik yang tidak menerima pelawaan masuk Islam namun tidak menunjukkan pertentangan meminta kepada Nabi S.A.W untuk menghantar wakil ke Najad untuk mengajarkan mereka Islam. Pada awalnya Baginda S.A.W menyatakan kebimbangannya jika para Sahabat yang dihantar akan diapa-apakan oleh mereka namun Abu Barra memberi jaminan akan melindungi mereka.

Menurut riwayat al-Bukhari, Baginda S.A.W menghantar 70 orang Sahabat untuk mengajar Qabilah Najad al-Quran dan hukum Islam yang diketuai oleh al-Munzir bin Amru.

Sampai di Bi`r Ma`unah, Hiram bin Mulhan diutuskan untuk membawa surat Rasulullah S.A.W kepada `Amir bin Tufail. Malangnya Amir bin Tufail telah membunuh Hiram bin Mulhan dan mengarahkan pengikutnya membunuh baki para Sahabat R.A. Ajakan tersebut diterima oleh Qabilah Ra`al dan Zakwan lalu mereka menyerang dan membunuh kesemua para Sahabat R.A.

Kejadian ini hanya disedari apabila dua orang Sahabat iaitu Amru bin Umayyah dan Munzir bin Uqbah yang melalui kawasan tersebut terlihat burung yang banyak berterbangan di kawasan tersebut. Nyata apabila mereka sampai terlihat mayat bergelimpangan dengan kuda-kuda yang berdiri menunggu. Munzir bin Uqbah juga syahid apabila cuba menuntut bela atas kejadian tersebut manakala Amru ditawan dan dibebaskan.

Amru bin Umayyah pulang untuk memaklumkan kepada Baginda S.A.W akan kejadian ini. Dalam perjalanan terserempak dengan dua penduduk Qabilah Bani Amir yang sedang nyenyak tidur lalu dibunuh kerana menyangka mereka juga terlibat dalam pembunuhan kejam tersebut. Perbuatan Amru ini diselesaikan oleh Baginda S.A.W dengan membayar diat kepada Bani Amir.

Peristiwa Bi`r Ma`unah ini menimbulkan perasaan kekesalan dan kesedihan yang amat mendalam dalam hati Baginda S.A.W walaupun baru sahaja kehilangan Sahabatnya dalam Perang Uhud. Sempena kejadian ini Baginda S.A.W berdoa (Qunut Nazilah) selama 30 hari berturut-turut mendoakan kebinasaan qabilah yang terlibat membunuh para Sahabat R.A. Antaranya Qabilah Ra`al, Zakwan dan Lihyan.

Pengajaran

1.     Qunut Nazilah sepertimana maksud dan sirahnya dibaca dalam keadaan ditimpa musibah yang sangat berat dan cemas.

2.     Seharusnya apabila kita membacanya juga dalam keadaan kita benar-benar merasa dihimpit musibah yang amat berat juga (bayangkan suasana selepas kekalahan dalam Perang Uhud sebelum dikepung pula dalam Perang Ahzab).

3.     Kita sedang menghadapi keadaan cemas umpama dalam Perang Ahzab, maka jangan lagak kita leka pula persis ketika Perang Hunain.

4.     Letakkan kebergantungan sepenuhnya pada Allah S.W.T.

FAIRUZ NIZAM ZAINAL ABIDIN 
18 Mac 2018 – HARAKAHDAILY 18/3/2018

 

Doa Qunut Nazilah dan terjemahannya:

اللهم أَعِزَّ الإسلامَ و المسلمين، اللهم أَذِلََّ الشِركَ و المُشرِكِين، أللهم انْصُرْ اخوانَنَا المسلمين و المجاهدين و المُسْتَضْعَفِين، فى كل مكان و فى كل زمان.

“Ya Allah! Muliakan Islam dan seluruh Muslimin. Ya Allah! Hinakan Syirik dan Musyrikin. Ya Allah! Tolonglah saudara-saudara kami Muslimin dan Mujahidin dan golongan-golongan lemah, di semua tempat dan di setiap masa.”

 

اللهم دَمِّرْ أعْدَائَك أعداءَ الدِّين، اللهم أهْلِكِ الكَفَرَةَ و الشِرْكَ و المُنَافقين، اللهم اِنَّنا نَجْعَلُ فى نُحُورِ أعداءِنَا و نَعُوذُ بِك مِن شُرُورِهِم، اللهم بَدِّدْ شَمْلَهُم و فَرِّقْ جَمْعَهم و شَتِّتْ كَلِمَتَهم و زَلْزِلْ أَقْدَامَهم و سَلِّطْ عليهم كَلْبًا مِن كِلَابِك

“Ya Allah! Binasakan musuh-musuh-Mu, musuh-musuh agama (Islam). Ya Allah! Hancurkan Kekufuran, Syirik dan Munafik. Ya Allah! Sesungguhnya kami jadikan pada leher-leher musuh kami (kami serah kepadaMu) dan kami berlindung dengan-Mu dari kejahatan-kejahatan mereka. Ya Allah! Cerai-beraikan himpunan kumpulan mereka, pisahkan kesatuan pakatan mereka, selerakkan kalimah-kalimah mereka, gegarkan ketetapan mereka, Kalahkan mereka dengan anjing dari anjing-anjing-Mu.”

 

يا قهَّار، يا جبَّار، يا مُنْتَقِم، يا الله، يا الله، يا الله، يا رب العالمين

“Wahai Tuhan yang Maha Gagah, Wahai Tuhan yang Maha Keras, Wahai Tuhan yang Maha Membalas, Wahai Allah, Wahai Allah, Wahai Allah Tuhan sekalian alam.”

 

اللهم يا مُنْزِلَ الكتاب و يا مُجْرِىَ السَحاب و يا هَازِمَ الأحزاب،  اِهزِمهُم، وانصُرْنا عليهم

“Ya Allah, Tuhan yang menurunkan Kitab, Yang menggerakkan awan, Yang mengalahkan tentera Azhab, Kalahkan mereka, dan bantah kami dengan memberi kemenangan untuk kami!”

 

اللهم انت قَوِىٌّ و نَحْنُ ضُعَفَاء، نَشْكُوا ضُعْفَ قوتِنا، اللهم انت ربنا و نحن عبادك

“Ya Allah, Engkau berkuasa, kami lemah, kami mengadu kelemahan kami. Ya Allah! Engkau Tuhan kami dan kami adalah hamba-hamba-Mu.”

 

اللهم ارْزُقْنا شهادةً فى سبيلك، ربنا أتنا فى الدنيا حسنة و فى الأخرة حسنة، وقنا عذاب النار

“Ya Allah! Rezekikan kepada kami syahid di jalan-Mu. Ya Allah! Berikan kepada kami kebahagiaan di dalam kehidupan di dunia ini dan kebahagiaan juga di akhirat, dan selamatkan kami dari azab neraka.”

 

وصلى الله على رسوله الكريم، و على أله و صحبه أجمعين، و الحمد لله رب العالمين