Islam letakkan tahap tersendiri buat OKU – Tuan Ibrahim

tawaui

TAWAU: Islam meletakkan tahap yang tersendiri dalam menyantuni golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) termasuk dalam segala hal kebajikan mahupun ehwal kehidupan mereka.

Advertisement

Malah ia ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW dan para Sahabat R.A sebagai jemaah yang menjadikan Islam sebagai paksi perjuangan meletakkan Islam mengatasi idealogi atau fahaman yang ada.

Sehubungan itu, PAS melihat penubuhan Unit Pengupayaan Orang Kurang Upaya (UPAYA) adalah satu langkah berterusan PAS melihat cabaran yang dihadapi OKU mutakhir ini.

Demikian kata Timbalan Presidennya, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man semasa merasmikan pelancaran UPAYA di Hotel Emas di sini hari ini.

Menurut Tuan Ibrahim, pembabitan PAS dan beliau sendiri bersama OKU bukanlah satu yang baharu, malah beliau pernah bersama-sama dengan golongan ini dalam banyak program sebelum ini.

Begitu juga usaha PAS mendekati golongan ini bukanlah bermusim sifatnya kata Tuan Ibrahim, sebaliknya ia berpanjangan.

“Besar harapan saya agar setiap OKU, ahli keluarga OKU, ibu bapa yang ada anak-anak OKU tidak merasa terpinggir dan gundah dengan takdir yang ditentukan,” kata beliau lagi.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat, Dr Rosni Adam pula dalam ucapan aluannya menyatakan bahawa gerak kerja kebajikan adalah agenda penting PAS.

Sehubungan itu kata beliau, pelancaran UPAYA hari ini menjadi bukti bahawa PAS kebajikan semua pihak termasuk OKU.

“Islam rahmat untuk semua menjadi tema perjuangan PAS sejak mula ditubuhkan. Islam tidak pernah meminggirkan sesiapa pun mengikut kepentingan tertentu. Islam datang dengan syariat untuk menyelamatkan semua,” kata beliau yang juga Timbalan Ketua Muslimat PAS Malaysia.

Pengarah Program UPAYA, Muhammad Hussin pula menyatakan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh jentera di Tawau dalam menjayakan pelancaran pertubuhan ini yang mana ia adalah program di peringkat nasional.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat berkata, lebih membanggakan kehadiran mencecah 400 orang yang rata-ratanya dalam kalangan OKU adalah satu petanda baik.

Ujar beliau, PAS dan UPAYA menawarkan khidmat bantuan kepada semua OKU selain pemudahcara kepada golongan ini.

Produk PAS ini kata beliau akan turun ke masyarakat seiring dengan produk yang lain termasuk PASTI dan Jabatan Amal Malaysia yang telah lama berada dalam masyarakat.

“UPAYA akan jadi produk mesra rakyat di seluruh Malaysia. Walaupun kami belum memerintah negara, tetapi kami berupaya menyediakan khidmat sedemikian, ia petanda kami bersedia memerintah negara,” kata beliau.

Terdahulu sebelum perasmian, Ustaz Tuan Ibrahim dan Dr Rosni telah memeriksa perbarisan Jabatan Amal Tawau dan Ameerah Tawau sebelum masuk ke dewan utama Hotel Emas untuk merasmikan pelancaran UPAYA.

Hadirin juga dipersembahkan dengan bacaan al-Quran oleh beberapa kategori OKU selain persembahan nasyid.

Hadir sama adalah Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminuddin Aling, timbalannya, Muhammad Dullah, Ketua Muslimat, Norsah Bongsu, Ketua Penerangan, Abdul Hisham Othman dan saf pimpinan negeri serta kawasan. – HARAKAHDAILY 18/3/2018

tawau2

tawaui