Kenaikan pangkat anggota JAM sempena program UAI

KUANTAN: Jabatan Amal Malaysia (JAM) Negeri Pahang telah mengadakan majlis ringkas kenaikan dan pemakaian pangkat Lans Koperal kepada anggotanya, Muhammad Afifuddin Md Yusof, 18 tahun.
 
Ia diadakan setelah tamat tugas sempena Kuliah Maghrib Ustaz Azhar Idrus (UAI) anjuran Masjid Al-Bukhari Nurul Aman yang dilangsungkan di Padang Awam Taman Seri Mahkota Aman, di sini semalam.
 
Penyempurnaan pemakaian pangkat itu telah dilakukan oleh Timbalan Pengarah III JAM Pahang, Aminuddin Mohd Jusoh setelah saranan untuk kenaikan pangkat itu disahkan Pegawai Tadbir JAM Pahang, Firdauz Mohd Nasir.
 
Aminuddin memaklumkan, kenaikan pangkat kepada mana-mana anggota JAM adalah satu bentuk penghargaan atas sumbangan dan kemahiran dimiliki anggota tersebut, selain disiplin dan kesungguhan dalam tugasan di semua peringkat.
 
Manakala menurut Firdauz, antara kelayakan untuk kenaikan pangkat mereka perlu lulus ujian Kursus Asas dan Kemahiran Amal (KAKA) atau kursus berkaitan anjuran JAM Negeri atau agensi diiktiraf.
 
Sementara itu, Afifuddin melahirkan rasa terkejut dengan anugerah itu dan bersyukur serta bertekad terus istiqamah dalam memartabatkan Islam menerusi komitmen bersama Jabatan Amal.
 
Beliau menyertai Jabatan Amal sejak berusia 14 tahun dan kini diberikan taklifan sebagai Ketua Unit Trafik JAM Kawasan Paya Besar. -HARAKAHDAILY 18/3/2018
Advertisement