PAS Sabah lancar manifesto PRU14

BATU SAPI: PAS Negeri Sabah telah melancarkan Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) khusus untuk negeri di Bawah Bayu itu sempena Himpunan Fastaqim 2.6 Sabah di Kampung Sundang Laut, di sini semalam.
 
Ia telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man bersama Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminuddin Aling dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Ahmad Dullah.
 
Manifesto tersebut mengandungi sepuluh agenda teras, iaitu memperkukuhkan institusi Islam, menaiktaraf pengurusan institusi tanah adat dan mengembalikan hak negeri Sabah seperti yang terkandung  dalam Perjanjian Malaysia 1963. 
 
Juga menggariskan pemberian hak autonomi negeri Sabah, memperbaharui tadbir urus projek mega yang lebih telus, transformasi institusi pendidikan, undang-undang dan kehakiman, serta menyelesaikan isu keselamatan perairan negara. 
 
Malah, manifesto itu juga menjanjikan penyediaan peluang pekerjaan, termasuk sedia membatalkan tuntutan Filipina dan memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
 
Sementara itu, Tuan Ibrahim dalam berkata, walaupun lagi dua tahun menuju Wawasan 2020, namun Sabah masih belum menikmati pembangunan terbaik meski sudah merdeka bersama Malaysia selama hampir 55 tahun.
 
Sebagai contoh ujarnya, Kampung Sundang Laut masih berstatus setinggan, tiada jalan yang sempurna serta akses pendidikan yang terbaik di mana perkara ini amat mengecewakan rakyat.
 
Beliau juga menyeru orang ramai untuk membuat perubahan pada PRU14 dengan menolak parti memerintah sekarang dan memilih PAS agar penambahbaikan rakyat dapat dilakukan.
 
“Penduduk (Kampung) Sundang Laut khasnya dan Batu Sapi amnya jangan bermimpi berlaku perubahan di tempat anda jika masih kekalkan parti pemerintah sekarang, perlu ubah pemimpin,” serunya lagi.
 
Turut diadakan pada program tersebut adalah konvoi motosikal, sukan rakyat, ‘free market’ dan lain-lain. -HARAKAHDAILY 18/3/2018
Advertisement