Bahaya air direbus semula?

HARI ini disebarkan tulisan yang melarang orang ramai merebus semula air yang sudah dimasak. Kononnya air rebusan semula itu merbahaya kerana mengandungi arsenik, nitra dan fluorida. Penjelasan lanjut yang disebut dalam tulisan itu semacam ada logiknya kerana air yang sudah masak akan menghuraikan beberapa sebatian lain, di mana masakan kali kedua akan menjadi racun sehingga membahayakan kesihatan.

Advertisement

Adakah benar dakwaan itu?

dr suhazeliArtikel sebegini sudah berlegar beberapa tahun dalam dunia internet. Pada asasnya artikel itu memberi amaran kepada masyarakat agar tidak meminum air kumbahan atau air yang tidak dirawat. Terdapat sesetengah tempat air takungan atau perigi atau bawah tanah yang mempunyai kandungan arsenik, nitrat yang melepasi paras yang dibenarkan oleh pihak berkuasa persekitaran dan mutu air.

ARSENIK: Arsenik dibebaskan ke udara sebagai hasil sampingan dari aktiviti perleburan bijih, proses pengeluaran racun makhluk perosak dan baja. Namun demikian arsenik juga boleh didapati semula jadi dalam bawah tanah. Ianya adalah sebatian yang boleh menyebabkan merosakkan kulit dan kanser dalam jangka masa panjang.

Arsenik yang terdapat dalam minuman sama ada dari pelbagai sumber tidak dibenarkan melebihi 0.6 microgram/kg tubuh kita sehari oleh pihak berkuasa. Jika berat badan kita 70 kg, pengambilan air yang mengandungi arsenik ini tidak lebih dari 42 microgram sehari. Bagi mendapatkan sejumlah 42 mcg itu, setiap individu dikehendaki meminum air sebanyak 2,600 gelen atau 10,000 liter air sehari. Dengan maksud, mana-mana air yang terdapat dalam sistem air minum kita (jika wujud arsenik) paras yang boleh menyebabkan keracunan arsenik adalah amat kecil. Merebus semula air tidak mengubah struktur arsenik ini kepada racun yang merbahaya.

NITRAT: Nitrat ini menjadi bahan asas dalam setiap air minuman kita. Ianya wujud kerana air minuman mengandungi klorin. Tetapi nitrat tidak mendatang keracunan atau kemerbahayaan kepada tubuh badan kita. Walaupun air direbus semula, nitrat tersebut tidak akan terurai dengan mudah. Cuma isu yang selalu dibangkitkan adalah kehadiran nitrosamin dalam air boleh menjadi risiko bahaya. Di mana Nitrosamin dipercayai sebagai sumber kejadian kanser kepada manusia (karsinogen). Nitrosamin ini terbentuk apabila ammonia daripada sumber yang tidak diketahui biasanya dari sisa buangan haiwan atau racun serangga, berinteraksi dengan klorin. Ammonia akan bertindak balas dengan klorin dan terbentuknya nitrosamin. Kepekatan nitrosamin ini makin likat apabila air direbus dalam tempoh yang lama sehingga isipadu air berkurangan. Pun begitu, jumlah klorin dan kehadiran nitrosamin ini dipantau dengan ketat oleh pihak berkuasa. Setakat ini air minuman yang kita ambil tidak mendatangkan bahaya kepada tubuh kerana jumlah yang terlalu kecil.

FLUORIDA: Fluorida penting bagi pertumbuhan gigi yang sihat namun paras yang tinggi akan menyebabkan penyakit fluorosis atau kerapuhan pada gigi dan tulang. Fluorida didapati secara semula jadi di dalam tanah, air, udara dan tumbuhan. Biasanya kandungan fluorida dalam air perigi, sungai dan tasik adalah di bawah paras 0.5 mg/liter. Paras yang tinggi biasanya dikesan di kaki gunung dan kawasan yang geografinya berasal dari enapan hidupan laut.

Dakwaan menyatakan bahawa florida ini mendatangkan kesan saraf kepada manusia adalah dangkal. Mereka menyamakan kajian ke atas tikus makmal yang menyebabkan tikus menjadi kerosakan otak. Mereka juga mengambil beberapa kajian yang berat sebelah bahawa fluorida ini boleh menyebabkan rendah IQ terhadap kanak-kanak. Sedangkan kajian timbal balik dijalankan menyangkal dakwaan tersebut. Bahkan, kadar yang dibenarkan kehadiran fluorida dalam air minuman adalah 4 mg/L, berbanding dengan kajian ke atas tikus yang didakwa fluorida merosakkan otak sebanyak 100-150 mg/L.

Bayangkan berat badan anda 75 kg, bagi mencukupi jumlah 4 mg/L air minum yang mengandungi fluorida, anda memerlukan 15 liter air untuk dimasukkan ke cawan teh, baharulah disamakan dengan julat yang dibenarkan itu. Bermakna, jika segelas teh tarik sepagi, tidak menimbul kerosakan otak anda sehingga dianggap biul. – HARAKAHDAILY 19/3/2018