Belum menang Putrajaya, PH sudah ugut pegawai kerajaan

KENYATAAN Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir bahawa Pakatan Harapan (PH) akan memecat kesemua pegawai kerajaan yang melindungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa 30 hari selepas berjaya menawan Putrajaya adalah kenyataan angkuh, bongkak dan berbaur ugutan.

Advertisement

Kenyataan Datuk Seri Mukhriz Mahathir menunjukkan PH begitu sombong dan mahu bertindak sewenang-wenangnya jika menawan Putrajaya kelak. Beliau seolah-olah sudah hampir pasti ke Putrajaya, sedangkan Pilihan Raya Umum ke 14 belum pun berlangsung. Apakah beliau yakin PH akan menang atau sebaliknya, PH pula yang akan melingkup kali ini? Dengan dapatan daripada kajian yang dibuat oleh pelbagai pihak belum ada petunjuk PH akan memenangi PRU ke-14 ini, mengapa beliau ‘terlebih sudu daripada kuah’ dengan kenyataan ugutan seperti itu?

Jika Perdana Menteri benar-benar seorang penjenayah, ambillah tindakan terhadap beliau, jangan pula dibabitkan dengan pegawai kerajaan kerana pegawai kerajaan hanya bekerja menurut arahan yang diberikan. Mana-mana pegawai kerajaan akan bekerja dengan kerajaan yang ada, dan jika PH memerintah kelak mereka akan akur dengan arahan daripada kerajaan PH. Mengapa ada sikap buruk sangka atau persepsi buruk bahawa pegawai kerajaan akan melindungi Datuk Seri Najib jika beliau kalah nanti?

Kenyataan beliau sama seperti pemimpin Umno sekarang yang sombong dan angkuh serta mencengkam kuasa terhadap pegawai-pegawai kerajaan. Kerana itu, di era kepimpinan Umno-BN sebagai kerajaan, pegawai-pegawai kerajaan begitu takut menyatakan kebenaran, tidak berani meyanggah kezaliman kerana teruk diugut dan diancam. Mana-mana pegawai yang dilihat lantang bersuara ditukarkan, disekat atau dibuang kerja. Umno juga hanya memilih atau mengekalkan pegawai yang kuat menyokong mereka sahaja. Jika itu juga nada suara Datuk Seri Mukhriz, apa beza beliau, PH dengan Umno-BN?

Jangan mengulangi kesilapan kepemimpinan Umno selama ini. Sepatutnya PH berlembut dan memujuk pegawai kerajaan agar terus bekerja dengan etika profesionalisma yang tinggi dan berintegriti dalam menjalankan amanah. Jika benar PH mahu memenangi Putrajaya, maka hati pegawai kerajaan perlu dijaga dengan pelbagai insentif, tawaran dan sokongan. Jika kebaikan yang diberi kepada mereka, tidak ada pegawai kerajaan mahu mengkhianati kerajaan yang ada, malah pegawai kerajaan inilah yang berjuang dan sanggup mati untuk kerajaan yang sedia ada dan negara tercinta.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR

Ahli Jawatankuasa Kerja

PAS Pusat – HARAKAHDAILY 19/3/2018