PAS mohon perkenan Tuanku selesai isu peruntukan

KOTA RAJA: Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan menyokong tindakan PAS Selangor menghantar surat kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu pembekuan peruntukan wakil rakyat PAS.

Advertisement

Katanya, itu pilihan yang PAS Selangor ada setelah kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali membekukan peruntukan kepada wakil rakyat PAS.

Beliau menegaskan di mana lagi yang PAS boleh mengadu selain kepada Sultan Selangor untuk mohon ihsan dan perkenan Tuanku dapat menyelesaikan isu tersebut.

Mengulas pembekuan peruntukan katanya, itu satu tindakan yang bercanggah dengan prinsip yang dilaungkan oleh pimpinan PH sendiri `Adil Untuk Semua’.

Tambah beliau, wakil rakyat Umno ditawarkan untuk diberi peruntukan tetapi wakil rakyat PAS yang berada dalam kerajaan dibekukan.

“Saya masih berharap jasa baik Dato’ Menteri Besar supaya fikirkan semula perkara ini. Jika tidak diubah maka ia akan menjejaskan kerajaan itu sendiri. Kerajaan Selangor akan dianggap tidak adil kepada rakyat,” tegasnya.

Beliau berkata sebenarnya wakil rakyat PAS Selangor yang membantu kerajaan negeri di bawah kepimpinan Dato’ Azmin dari segi kedudukan kerusi-kerusi dalam kerajaan itu sendiri.

Katanya, jika tidak ada 13 orang wakil rakyat PAS dalam kerajaan Selangor maka kerajaan negeri tidak mempunyai majoriti Adun Islam.

“Kita masuk menyertai kerajaan itu atas dasar untuk menjaga kedudukan kerajaan negeri. Atas bantuan kita ini yang disenangi oleh Tuanku Sultan,” tegasnya ketika ditemui selepas perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kota Raja. – HARAKAHDAILY 19/3/2018