PAS sedia tandingi 40 Dun, 19 Parlimen Johor

TEBRAU: PAS Negeri Johor akan bertanding di 40 Dun dan 19 Parlimen negeri itu pada PRU14 nanti, demikian maklum Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin, semalam.
 
Manakala kerusi lain menurutnya, akan ditandingi parti rakan dalam Gagasan Sejahtera dan beliau turut memberitahu terdapat pihak tertentu menemuinya meminta PAS tidak meletakkan calon di beberapa kerusi.
 
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Kali Ke-33 PAS Tebrau di Dewan Utama PAS Tebrau, Taman Bukit Tiram, di sini.
 
MAT bertema “Pasakkan Ukhuwah, Istiqamah Hingga Kemenangan” itu telah dihadiri seluruh kepimpinan PAS Tebrau dan Dewan-dewan serta perwakilan dari 15 Cawangannya.
 
Abdullah pada majlis itu turut menyampaikan anugerah Tokoh Muslimin dan Muslimat Istiqamah kepada Ustaz Jawarni Kosnin dan Norhidayah Ibrahim, manakala Cawangan Contoh kepada PAS Cawangan Kampung Kangkar.
 
Terdahulu, Yang DiPertua PAS Tebrau, Ustaz Khirul Muntanazar Ismail menyatakan keyakinannya PAS akan mengekalkan kemenangan Dun Puteri Wangsa dan mahu memenangi Dun Tiram serta Parlimen Tebrau. HARAKAHDAILY 19/3/2018
Advertisement