Bas Amphicoach yang meragukan

KUALA TERENGGANU: PAS Negeri Terengganu menuntut jawapan kerajaan negeri bagi merungkai keraguan dalam pembelian bas Amphicoach (dua alam) yang berharga RM3.3 juta setiap satu.

Advertisement

Ini kerana, kata Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah, janji kerajaan negeri ketika Dato’ Seri Ahmad Said menjadi Menteri Besarnya adalah dua Amphicoach.

“(Mantan) Menteri Besar, Dato Seri Ahmad Said dulu berjanji membeli dua bas Amphicoach daripada Malta.

“Tapi hanya satu sahaja yang dibeli dan sampai (Terengganu) dengan harga RM3.3 juta melalui Syarikat Alam Perkasa Technology Sdn Bhd.

“Kontrak beli ditandatangani pada 2014 supaya syarikat itu membekalkan dua unit bas amfibia AmphiCoach GTS-1,” ujarnya kepaha Harakah, hari ini.

Menurutnya, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif pernah berjanji bas itu mula beroperasi Mei 2015, kemudian terus berjanji dalam sidang Dun Terengganu bahawa dijangka sampai Jun 2017.

Malah katanya, Ahmad Razif berjanji kerajaan negeri akan mendapat pampasan kerana kelewatan dan tidak mematuhi kontrak tersebut.

“Persoalannya, kenapa hanya sebuah bas yang diterima sekarang. Berapakah harga sebenar atau harga kilang seunit bas amfibia itu dan kenapa penghantarannya lewat sehingga hampir tiga tahun?

“Berapakah kos pampasan yang diterima daripada kelewatan dan tidak patuh kontrak. Adakah bas itu berupaya untuk digunakan di musim banjir dengan arus yang deras?

“Bila pula bas ini akan dihantar ke Tasik Kenyir. Bagaimana penyelenggaraan atau membaiki kerosakan bas ini serta berapa anggaran kosnya,” soal beliau selaku Adun Bukit Payung.

Ustaz Mohd Nor turut mempersoal sama ada Kerajaan Terengganu telah membuat kajian yang lengkap dan menyeluruh sebelum pembelian bas amfibia tersebut.

Kenderaan bas amfibia (amphicoach) buatan Malta itu tiba di negara ini Februari lalu dan kini telah berada di Terengganu.

Namun, setelah dua kali dipandu-uji bas dua alam itu di Sungai Terengganu telah berlaku kerosakan taknikalnya hingga menjadi tular di laman sosial serta mendapat cemuhan masyarakat umum. – HARAKAHDAILY 20/3/2018