PAS akan terus suarakan isu penoreh getah di Parlimen

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen PAS akan usaha membangkitkan isu kesengsaraan penoreh getah yang terpaksa menanggung bebanan harga semakin meruncing pada pembentangan bajet tambahan nanti.
 
Menurut Ahli Parlimen Bukit Gantang, Ustaz Idris Ahmad berkata, desakan terhadap kerajaan harus dibuat untuk membantu warga penoreh yang juga penyumbang kepada penggerak ekonomi negara.
 
Ujarnya, PAS pernah beberapa kali mendesak kerajaan menetapkan harga lantai bagi komoditi getah sebanyak RM3.50 hingga RM4 sekilogram untuk memastikan penoreh tidak terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
 
Beliau mewakili Ahli Parlimen PAS menerima memorandum daripada penoreh getah Padang Terap di Parlimen, hari ini.
 
Katanya, nasib penduduk Padang Terap yang majoritinya adalah pekebun kecil harus diperjuangkan terlebih dahulu sebelum memikirkan untuk membina Bandaraya Getah sebagaimana dijanjikan dalam PRU13 lalu.
 
Dalam pada itu, ketua rombongan tersebut, Yang DiPertua PAS Kawasan Padang Terap, Ustaz Mohd Azam Abd Aziz berkata, mereka terbeban dengan kos sara hidup yang semakin menekan tambahan pula harga getah tidak menentu di mana terkini sekitar RM2.20 sehingga RM2.30.
 
“Berkali-kali kami desak supaya diberi harga lantai RM4 tapi kerajaan buat bodoh sahaja. Hari ini kami datang ke sini (parlimen) keluar duit poket sendiri walaupun susah, untuk nak sampaikan memorandum kepada pihak kerajaan.
 
“Kami juga desak kerajaan menyatakan status terkini Bandaraya Getah di Padang Terap yang dimaklumkan terbaru sejumlah RM300 juta diperuntukan untuk projek tersebut, tiada apa-apa pembangunan pun yang sedang dilakukan di sana,” katanya.
 
 
Ketua Dewan Pemuda PAS Padang Terap, Ustaz Nurul Amin Hamid percaya Umno-BN akan mengulangi lagi janji manifesto PRU13 seperti projek Bandaraya Getah yang dijanjikan lima tahun lalu.
 
Penoreh getah Othman Wahab, 71 pula berkata, pada hari ini beliau hanya mampu meraih pendapatan RM30 seminggu dengan harga getah serendah RM2.20 sekilogram menambah bebanan kos hidupnya lebih-lebih lagi ditambah bebanan GST.
 
Seramai 43 warga penoreh getah mewakili penduduk Padang Terap menyerahkan memorandum di hadapan Parlimen yang diterima oleh Ustaz Idris. 
 
Hadir sama pada pagi ini adalah Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Ustazah Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat. -HARAKAHDAILY 20/3/2018
Advertisement