Perintah syariat wajib laksana, tidak perlu manifesto

KUALA LUMPUR: Tuntutan syariat adalah perkara fardu yang tidak perlu dimanifestokan, kerana perintah Allah itu tidak pernah berubah atau mansuh, sebaliknya dilaksana sebagai kewajipan setiap mukmin.

Advertisement

Sedangkan manifesto adalah janji dan tawaran kepada rakyat apabila diberikan mandat kuasa pemerintahan dari segi langkah dan polisinya, demikian menurut Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim.

“Memang kita tak masuk soal sembahyang, puasa, zakat dan haji dalam manifesto termasuk juga soal pelaksanaan syariat Allah. Perkara ini wajib dilaksanakan dan tidak perlu dimanifestokan.

“Orang PH ada ke yang berjanji, kalau pagi esok Allah bagi panjang umurnya, maka dia berjanji akan solat Subuh?” persoal beliau menempelak kedangkalan itu.

Tegasnya, PAS yang memimpin Gagasan Sejahtera berjuang untuk melaksana syariat Allah di atas muka bumi Malaysia di mana matlamat itu jelas termaktub dalam Perlembagaan PAS.

Jelasnya, hingga kini PAS terus istiqamah dengan matlamat besar itu, sebaliknya berubah hanya pendekatan dan langkah gerakan.

“Ibarat dulu naik kapal laut, sekarang naik kapal terbang. Matlamat sama nak pergi ke Makkah untuk menunaikan fardu haji,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/3/2018