PPPM 2013-2025: Meremeh dan ancam Pendidikan Islam

PELAKSANAAN Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, perlu dikaji semula (review) setelah 2 tahun pelaksanaannya, bagi menilai semula keberkesanan pendidikan Islam didalam program tranformasi pendidikan tersebut.
 
Transformasi pendidikan negara bagi tempoh 13 tahun yang akan datang sehingga tahun 2025, dengan gelombang pertama 2013-2015, sehingga gelombang ketiga 2021-2025, dikhuatiri tidak akan mampu melahirkan ‘modal insan yang holistik’ sebagaimana visi Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Negara serta roh Islam sebagai agama rasmi negara dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 3(1) dan juga Akta Pendidikan 1996.
 
Ini disebabkan terdapat kelompongan yang besar dalam 11 strategi anjakan yang disasarkan. Dikesani bahawa peranan dan fungsi bahagian pendidikan Islam telah diremeh dan dihakiskan dalam pembangunan dan pemantapan kurikulum serta pengurusan sumbernya. Pendidikan Islam tidak menjadi suatu sistem pendidikan yang menyeluruh dalam pelaksanaan program tranformasi PPPM.
 
Persoalannya, bagaimana dan siapakah yang akan bertanggunjawab bagi memantapkan pendidikan Islam di Kementerian Pendidikan (KPM) dalam pelaksanaan PPPM? Selain daripada itu perancagan dan pelaksanaan PPPM tidak melibatkan pandangan dan pengukuhan daripada pakar-pakar pendidikkan Islam dalam negara secara khusus.
 
Kesan daripada itu pendidikan Islam hanya diangap sebagai subjek yang sama taraf atau setara dengan pendidikan moral, dan dijadikan sebagai subjek yang hanya membantu mengukuhkan intergrasi nasional tetapi bukan dilaksanakan sebagai ‘suatu sistem pendidikan yang menyeluruh (holistik)’ dalam sistem pendidikan negara.
 
Lebih parah lagi program j-Qaf telah dirancang untuk dihentikan secara beransur-ansur bermula pada 2016, sedangkan ia adalah program asas kepada pemantapan pelajar sekolah rendah dalam menguasai al Quran, Fardhu-ain, Jawi dan bahasa Arab.
 
PPPM yang hanya memberi penekanan kepada kecemerlangan akedemik semata mata, iaitu bagi subjek Matematik, Sains, teknologi dan penguasaan bahasa Inggeris tanpa memantap dan mengukuhkan pendidikan Islam sebagai suatu sistem pendidikan yang menyeluruh, menyebabkan sistem pendidikan negara pincang,
dan akan gagal melahirkan modal insan yang beriman, berilmu, beramal dan berakhlak mulia.
 
Kegagalan ini akan melahirkan modal insan yang robotik, yang menghilangkan maruah bangsa dan keunggulan martabat agama, serta ia merupakan ancaman kepada pembenaan golongan generasi TN50 yang cemerlang dunia dan akhirat.
 
Tidak mustahil pelaksanaan PPPM akan melahirkan modal insan yang berkefahaman Islam liberal yang semakin menular dan diterima dikalangan generasi muda sekarang. Ini adalah disebabkan pelaksanaan pendidikan Islam tidak diberikan penekanan secara langsung, khusus dan ekslusif dalam PPPM.
 
Persidangan Sidang Meja Bulat di Putrajaya pada 14 Mac 2018 yang lepas, bertajuk Pendidikan Islam Kontemporari; Cabaran dan Harapan, yang dihadiri lebih 50 pertubuhan NGO pendidikan Islam bersetuju dan bertekad supaya sistem pendidikan Islam diperkukuhkan, dimantapkan serta dipertahankan bagi melahirkan modal insan yang holistik kepada generasi TN50 yang lebih bertangungjawab kepada agama, bangsa dan tanahair.
 
MOHD ZAI MUSTAFA
Ketua Eksekutif
MAKPEN – HARAKAHDAILY 21/3/2018
Advertisement