Tolak pemimpin rasuah, bukan retorik

TAHNIAH Tan Sri Rafidah Aziz bekas menteri kabinet menyeru rakyat supaya tidak mengundi pemimpin politik korup. PAS sokong 120 peratus. PAS tidak kompromi masalah rasuah sama ada di dalam parti atau di luar parti. Kenyataan Datuk Paul Low, Menteri Jabatan Perdana Menteri yang mengatakan bahawa 71 pemimpin BN dan 31 pemimpin PH manakala pemimpin PAS sifar siasatan kesalahan dalam tempoh 2013 hingga 2017. Alhamdulillah.

Advertisement

CPI negara semakin merosot, kita dikejutkan dengan berita kedudukan indeks rasuah Malaysia yang kian merosot, dan berkongsi kedudukan di tangga 62 dengan negara Cuba. Menurut laporan Indeks Persepsi Rasuah 2017 yang dikeluarkan oleh Transparency International, kedudukan Malaysia juga merosot daripada tangga 55 kepada 62 daripada 180 buah negara.

PAS menentang rasuah bukan kerana marah kepada peribadi. Marah gejala rasuah bukan kerana dedak tidak cukup. Marah kepada rasuah bukan kerana sudah tidak ada kuasa, walaupun sewaktu kita ada kuasa dua kali lima, lima kali dua sahaja. Marah kepada rasuah bukan hanya retorik semata-mata, kerana akhirnya diri juga terpalit dengan rasuah.

PAS menentang rasuah kerana ia dilarang oleh Allah SWT. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Pemberi rasuah dan penerima rasuah ada di dalam neraka”. PAS istiqamah menentang rasuah.

PAS juga menentang politik kronisme, koruption, nepotisme (KNN) istilah yang cukup popular sewaktu zaman reformasi 1998. Cuma sekarang hanya menjadi bahan sejarah sahaja. PAS juga menentang kleptokrasi. Semua ini memusnahkan negara dan rakyat.

PAS menyeru rakyat kepada politik untuk mengubah negara yang lebih sejahtera dan buang pemimpin rasuah. Jenayah rasuah ini amat merbahaya kepada negara dan rakyat. Selain menyebabkan ketirisan dan pembaziran wang negara, turut mempengaruhi imej negara dalam ekosistem perdagangan dan politik antarabangsa.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
21 Mac 2018 – HARAKAHDAILY 21/3/2018