Menerap jiwa murabbi dalam kalangan Guru PASTI

PADANG BESAR: Kesungguhan atau jihad, berperancangan sistematik dan keikhlasan adalah ciri murabbi yang amat diperlukan dalam melaksana cabaran tugas mendidik dewasa ini.
 
Ia adalah keupayaan yang mesti ada kepada para guru dalam mendepani halangan di mana boleh melemahkan diri dan menggagalkan matlamat organisasi untuk dicapai.
 
Demikian seru Ketua Pemuda PAS Negeri Perlis, Ustaz Muhammad Azmir Azizan ketika berucap merasmikan penutup Kem Sahsiah Guru (KSG) di Kem Motivasi dan Reakreasi Wnza Indah Permai, Beseri, di sini kelmarin.
 
Menurutnya, Guru PASTI mesti memiliki jiwa murabbi agar dapat membina generasi tunas Islam yang unggul sebagaimana hasrat pendidikan PASTI itu sendiri.
 
Sehubungan itu katanya, segala pengorbanan dengan sentiasa sabar memikul amanah mendidik secara penuh istiqamah perlu disemai dalam diri hingga mendapat anugerah terbaik di sisi Allah.
 
Beliau juga mengingatkan para peserta bahawa peranan mereka tidak kecil kerana PASTI antara wadah PAS berjuang memartabatkan pendidikan Islam di negara ini.
 
Perkara itu nyatanya, turut diperlihatkan PAS menerusi penubuhan institusi-institusi pengajian lain hingga ke universiti milik sendiri meskipun bukan parti pemerintah. -HARAKAHDAILY 22/3/2018
Advertisement