GEH rancakkan penerangan gagasan semasa PAS

TITIWANGSA: Komitmen PAS membawa Malaysia Sejahtera yang digariskan menerusi beberapa dokumen akan terus giat disampaikan kepada masyarakat menerusi Gelombang Epal Hijau (GEH).
 
Usaha itu sedang rancak diperluaskan oleh Muslimat Muda (Ameerah) Dewan Muslimat PAS menerusi sebaran risalah dan sesi penerangan kepada awam dengan mendekati masyarakat di lapangan.
 
Menurut Ketua Ameerah Kawasan Titiwangsa, Nusaibah Ibrahim, pendekatan GEH lebih ceria, semangat dan gagah itu berusaha menyampaikan mesej PAS agar rakyat memahami dan turut bersama.
 
Katanya, Budaya Politik Matang dan Sejahtera, Dokumen Hijau dan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) 2051, serta terbaharu Manifesto GAGASAN bersama 9 Teras Utama dan 20 Tawaran mesti segera sampai kepada rakyat.
 
Jelas beliau, keberkesanan mesej-mesej tersebut pasti berjaya menambat hati rakyat menerusi pendekatan berterusan dan menarik, sekali gus memberi rakyat keyakinan dan pilihan sewajarnya semasa mengundi pada PRU14 nanti.
 
Terbaru pihaknya telah mengadakan siri GEH itu di Maluri, di sini kelmarin dengan turut disertai pimpinan PAS Titiwangsa, termasuk membuka kaunter khas daftar pemilih. -HARAKAHDAILY 23/3/2018
Advertisement