Tolak budaya samseng dalam berpolitik

KUALA LUMPUR: Umno Negeri Sembilan dilihat berada dalam keadaan terdesak hingga Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato’ Seri Mohamad Hassan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.
 
Dalam satu video tular, Mohamad yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan mengarah Briged Gerak Gempur Pemuda Umno menggunakan tindakan keras di kedai kopi tempat memfitnah kerajaan.
 
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru pihak polis supaya tidak berdiam diri dan mesti bertindak terhadap kenyataan menghasut itu kerana ia boleh mencetuskan pelbagai kejadian ganas.
 
“PAS menolak budaya politik samseng, bahkan dalam Budaya Politik Matang dan Sejahtera diamalkan PAS, jelas kita berpolitik secara berakhlak, berfakta. Bukan politik persepsi dan tidak bertamadun.
 
“PAS berharap pengundi akan tolak parti yang ego, sombong dan terdesak ini. Sudah sampai masanya rakyat bangkit memilih PAS bagi membawa perubahan harmoni dan aman damai untuk negara,” ulas beliau.
 
Berikutan rakaman tular itu, Mohamad bagaimanapun dilaporkan telah tampil memohon maaf dengan menyatakan ucapan beliau satu gurauan yang telah disalahtafsirkan. -HARAKAHDAILY 23/3/2018
Advertisement