Dato’ Sohok seru istiqamah perjuang Islam

KUALA TERENGGANU: Selebriti, pengarah dan pelakon yang terkenal dengan jolokan Dato’ Sohok dalam Telefilem Pok Ya Cong Codei, Mustapha Kamal Mohd Daud menyeru pendokong PAS agar terus istiqamah dengan perjuangan Islam.
 
Menurutnya, kemenangan Islam akan bersama dengan orang yang istiqamah di mana setiap ahli PAS kena yakin dengan perjuangan Islam yang dibawa oleh parti dan Presidennya.
 
“Saya sendiri mahu istiqamah sampai bila-bila. Jika kita semua istiqamah untuk kita juga, untuk Islam juga kalau kita istiqamah. Kemenangan akan ada bersama dengan kita, InsyaAllah. 
 
“Kita berjuang hari ini sebab kita nak Islam duduk di atas. Kita kena yakin dengan Islam yang dibawa oleh parti (PAS), kita kena percaya parti yang dibawa oleh Presiden kita. 
 
“Jika kita istiqamah, Islam akan duduk di atas, takbir!” ujarnya dengan penuh semangat di hadapan ribuan hadirin.
 
Beliau berkata demikian ketika program Santai Bersama Ustaz Azhar Idrus dan Dato’ Sohok sempena Himpunan Harapan Semua-PAS Ganti Umno (Harap-PGU) 3.8 di Kuala Ibai, dekat sini, semalam.
 
Sementara itu, Pendakwah Sejuta Ummah, Ustaz Azhar Idrus juga mengajak umat Islam istiqamah dengan perjuangan ini.
 
“Setelah kita beriman kepada Allah, istiqamahlah dengan Islam. Saya dulu, kini dan selamanya seluruh keluarga akan bersama dengan Islam. 
 
“Siapa sahaja Presiden, siapa sahaja pemimpin, siapa orang atasnya saya tetap jadi ekor, ikut Islam sampai ke lubang kubur. Teruskan dengan perjuangan Islam,” tegasnya.
 
PAS Negeri Terengganu mengadakan himpunan terbesar parti itu yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, dan kemuncaknya mendengar amanat daripada Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. – HARAKAHDAILY 24/3/2018
Advertisement