Fakta Isu Jerteh Souq

PADA 13 Mac 2010, Dato’ Seri Idris Jusoh pernah meminta Majlis Daerah Besut (MDB) mengambil langkah segera bagi memastikan pembinaan projek Jerteh Souq berharga RM70 juta yang terbengkalai diteruskan demi keperluan peniaga dan orang ramai.

Advertisement

Laporan Ketua Audit Negara 2011

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dalam Laporan Audit tahun 2011 menyatakan, pengauditan yang dijalankan antara bulan Julai hingga Oktober 2011 mendapati secara umumnya, pelaksanaan projek di Besut adalah kurang memuaskan.

Terdapat beberapa kelemahan yang dikenal pasti adalah yuran perkhidmatan perunding bagi projek itu terlebih bayar dan kelewatan menyiapkan projek serta kualiti kerja tidak memuaskan.

Projek Mega di Besut Cecah RM1 Bilion?

Dato’ Seri Ahmad Said menggantikan Idris Jusoh sebagai MB pada tahun 2008, terpaksa menanggung projek Jerteh Souq yang terbengkalai sekian lamanya.

Apa tidaknya, hampir RM1 bilion projek-projek yang dicurahkan ke dalam daerah Besut semasa pemerintahan Idris Jusoh itu menjadi beban kewangan kepada Kerajaan Negeri Terengganu.

“(Perbelanjaan) Projek sambung (dalam) bajet tahun 2009, kalau saya tidak sambung projek itu, ia akan terhenti. Saya kena belanja bajet (kerajaan negeri sebanyak) RM500 hingga RM600 juta untuk meneruskan projek itu?” kata Ahmad Said dalam satu sidang media pada bulan Mei tahun 2009.

Katanya lagi, projek pembinaan Universiti Darul Iman (UDM) sebanyak RM 250 juta, Taman Ilmu sebanyak RM410 juta, Sekolah Menengah Imtiaz Besut RM145 juta dan pasar Jerteh Souq RM75 juta.

Perbelanjaan itu menurutnya, belum termasuk kos-kos tambahan yang timbul seperti projek Kompleks Taman Ilmu yang akan ditambah lagi sebanyak RM160 juta.

Hadapi Masalah

Bahkan, pada 8 April tahun 2010, Ahmad Said pernah mendakwa pihaknya mendapati projek pembinaan kompleks tersebut menghadapi masalah kerana mutu atau kualiti pembinaannya yang rendah.

Kerajaan negeri menafikan projek pembinaan Kompleks Perniagaan Jerteh Souq berharga RM70 juta di Jerteh di sini terbengkalai akibat isu dalaman politik.

Sebaliknya, Ahmad Said pihaknya mendapati projek pembinaan kompleks itu menghadapi masalah kerana mutu atau kualiti pembinaannya yang rendah.

Harakah dimaklumkan, pembinaan Jerteh Souq melibatkan beberapa fasa yang terdiri daripada pembinaan pasar kering, pasar basah, tempat meletak kenderaan, kiosk dan terminal bas dan teksi.

Pembinaan fasa pertama adalah sebuah pasar kering bernilai RM22 juta bakal dibina, namun disebabkan beberapa masalah teknikal yang berlaku menyebabkan ia tidak dapat diteruskan walaupun telah siap hampir 66 peratus dibina ketika itu.

RM5 juta bina pasar baru Jerteh Souq

Masalah tempat ruang niaga tidak selesa dan kurangnya sambutan orang ramai yang dihadapi peniaga di premis sementara Pasar Jerteh Souq akan dapat diselesaikan apabila sebuah pasar baru akan dibina di kawasan yang lebih strategik dan mampu menarik ramai pengunjung.

Pembinaan pasar berharga RM5 juta itu diluluskan Menteri Besarnya, Ahmad Razif Abd Rahman, kononnya selepas mendengar rintihan peniaga serta permintaan pemimpin setempat yang mahu pembinaan projek Jerteh Souq diteruskan untuk faedah peniaga.

Ahmad Razif yang meninjau masalah peniaga di Jerteh Souq berjanji akan meneruskan pembinaan pusat perniagaan Jerteh Souq selepas ia terbengkalai hampir 15 tahun.

Namun, tinjauan Harakah mendapati para peniaga menghadapi pelbagai masalah kerana ruang niaga kecil selain kedudukan tempat yang tersorok. – eHARAKAH 24/3/2018