MB N9 silap langkah atau sengaja silap?

LAMA benar saya tidak mencoret kalam Nota Selatan. Terhenti seketika atas beberapa faktor termasuk kesihatan dan sebagainya.

Advertisement

Tular video Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato Seri Utama Mohammad Hassan (Tok Mat) sejak beberapa hari lalu mengenai provokasi agar pemuda BN berlagak samseng terhadap pembangkang, membuatkan saya terpanggil mencoret kembali kalam Nota Selatan.

Dalam coretan September tahun lalu, ada saya menyebut bagaimana MB Negeri Sembilan mungkin sekali akan ditolak team Dato’ Seri Najib Razak kerana Tok Mat sangat diketahui oleh Najib bukan berada dalam kem-nya.

Malah umum juga sudah tahu sebenarnya Tok Mat anak didik Tun Dr Mahathir Mohammad, bukannya ayam tambatan Tun Abdullah Ahmad Badawi seperti sangkaan awal semua pihak pada tahun 2004 selepas tokoh korporat ini diangkat menerajui Negeri Sembilan.

Berbalik kepada tular video ‘samseng’ melibatkan Tok Mat. Seperti diketahui umum, nama Tok Mat sangat harum di Negeri Adat Perpatih ini sejak beliau menerajuinya. Apatah lagi rakyat di negeri ini seakan merasakan satu kelegaan selepas Tan Sri Isa Abdul Samad ‘tersingkir’ dari kerusi selesa MB selepas 22 tahun mengunggulinya dengan pelbagai skandal, kisah hitam sepanjang pentadbiran Isa Samad.

Maka semacam satu kelegaan bilamana datang ‘super star’ seperti Tok Mat menerajui negeri ini. Ada dalam kalangan penyokong pembangkang juga seolah-olah melihat batang tubuh Tok Mat jangan diinjak andai mahu berkempen menghentam Umno-BN. Kononnya Tok Mat bersih sesucinya.

Sama ada secara sedar atau tidak, ataupun mungkin satu ‘pelan’ (perancangan) maka nada memprovokasi diucap Tok Mat dalam majlis bersama Pemuda BN di Rantau dalam Parlimen Rembau, tempat jajah takluk terkuat Tok Mat.

Jika hendak dikatakan Tok Mat sengaja menjadikan tularan video ‘samseng’ sebagai satu cara untuk menarik perhatian, maka telahan ini juga mungkin keterlaluan. Tok Mat orang yang berseni dalam politik dan bertutur, maka amat mustahil jika dia secara tidak sedar menutur bait kata yang menampakkan kebodohan.

Namun tidak boleh dinafikan terkadang untuk mencapai sesuatu maksud, perancangan ataupun kepentingan menarik perhatian atau samada mahu mencetus sesuatu, maka tindakan ‘bodoh’ dari seorang yang digelar cerdik pandai boleh sahaja berlaku.

Dalam keadaan Umno-BN sebenarnya bagai telur di hujung tanduk, maka tindakan begini boleh mencetus sesuatu ‘movement’ sama ada untuk kepentingan peribadi Tok Mat mengintai ruang ataupun untuk secara sengaja menjadi menyerah tengkuk untuk dimangsakan demi muslihat lebih besar.

Mengapa saya menyatakan demikian? Lihat beberapa tindakan mentor kepada Tok Mat iaitu Tun Mahathir Mohammad, nampak ‘bodoh’ dan seolah-olah tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang bekas PM. Namun tindakan bodoh Mahathir terkadang mengundang perhatian awam walaupun sebenarnya rakyat semakin meluat dengan aksi kleptokrat itu sejak sekian lama.

Dalam isu perlakuan Tok Mat, pada mata kasar rakyat ia adalah amat mustahil lahir dari seorang yang bergelar korporat dan dikenali santun caranya. Namun inilah taktikal move yang sebenarnya sedang digerakkan Tok Mat barangkali yang sudah muak dengan bos-nya yang ada hari ini (Najib Razak) untuk Tok Mat beralih angin dan menyatakan pendirian sebenar dalam wajah politiknya.

Tidak mustahil dengan sikap ini maka Najib lebih mudah untuk kerat Tok Mat dari kem BN, dan dengan mudah Tok Mat pula beralih kem mengikut jejak langkah super kleptokrat Tun Mahathir dalam kem bayangan Umno baharu yang kini bernama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Umum tahu, Tok Mat tidak akan buat perkara yang tidak membawa keuntungan dalam karier politiknya apatah lagi dia seorang korporat.

Sama ada secara sengaja mahu disembelih untuk merealisasikan hasrat sebenar beralih kem baharu atau memang Tok Mat tersalah langkah mencipta gerakan yang akhirnya nanti mencemar imejnya selaku MB, sama sama kita nantikan ‘ending‘ episod panjang berdurasi musim pilihan raya ini.

Samada Tok Mat terperosok dalam permainan politiknya bersama mentornya yang kini ‘meroyan’ mengungkit salah laku BN yang sebenarnya juga dari ajarannya selama 22 tahun selaku PM, atau Tok Mat sebenarnya ‘over acting’ tatkala mahu menunjukkan taat setia kepada Najib untuk dipilih bersama meneruskan aspirasi kerajaan pimpinan Najib dalam pilihan raya kali ini.

Pertaruhan ini amat besar, calarnya imej bukan kepalang. Maka begitu juga besar perancangan yang Tok Mat sedang aturkan bersama muslihat politik, yang akhirnya nanti rakyat tidak mendapat apa faedah kerana amalan politik Umno-BN juga parti serpihan Umno hanya demi kepentingan perut, poket dan kroni sahaja.

Rakyat Negeri Sembilan usah terperangkap permainan bermuslihat ini, inilah masa mengubah politik kotor Umno-BN dan beralih kepada PAS demi kesejahteraan dan keharmonian. – HARAKAHDAILY 24/3/2018