Projek Jerteh Souq bernilai RM75 juta gagal

APA jadi dengan beberapa projek mega yang diilhamkan ketika mantan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh berterusan dirundung malang.

Advertisement

Seolah-olah kegagalan itu terus berlaku sebagai hukum karma akibat dari beberapa tindakannya yang menyusahkan rakyat Terengganu Darul Iman, setelah kerajaan PAS pada tahun 2004 lalu.

Jerteh Souq kerana termasuk dalam lima projek mega yang dirancang oleh kerajaan Umno-BN Terengganu dengan menggunakan duit Dana Khas atau wang ehsan yang ditukar dari hasil Royalti Petroleum dan Gas.

Antara projek itu, Gerbang Pelancongan Antarabangsa, Kompleks Taman Ilmu, Jerteh Souq, Lebuh Raya Keruak – Gunong Bongsu dan Klinik Kesihatan Pulau Perhentian.

Selepas lebih 10 tahun berlalu, projek peninggalan bekas Menteri Besar yang kini menjadi Menteri Pengajian Tinggi itu masih tergendala.

Mengikut perancangan awalnya yang digembar-gemburkan, pembangunan semula Pasar Jerteh di kawasan lapan hektar itu akan menjadi bandar Jerteh antara bandar serba moden di negeri ini.

Sekarang ini Jerteh Souq itu dibuat pembinaan baharu. Sebelum ini telah dibuat beberapa fasa dan yang terakhir Terminal Bas.

Masalahnya, setelah Terminal Bas itu siap tidak mendapat kelulusan CF (sijil layak menduduki) untuk digunakan sebab pembinaannya dikatakan tidak mengikut spesifikasi yang sepatutnya.

“Sekarang ini, dibangunkan pula bangunan lain di sekitar terminal itu hingga terlindung. Fasa pembinaan Terminal Bas itu gagal,” kata Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad.

Beliau berkata demikian kepada Harakah ketika membuat tinjauan isu bongkar bersama Kumpulan Alternatif Media Independent (KAMI) di Pasar Jertih Souq, Jerteh, Besut, baru-baru ini.

Turut bersama beliau, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Riduan Mohammad Nor dan beberapa Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Besut.

SPRM, Audit digesa siasat

Sehubungan itu, Ustaz Wan Azhar menggesa agar pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Audit Negara dapat mengambil tindakan pro-aktif terhadap laporan tersebut.

Menurutnya, kegagalan beberapa projek mega yang dilaksanakan oleh pemimpin kerajaan Umno-BN Terengganu patut diberi perhatian serius apatah lagi ia menelan belanja tidak kurang dari RM75 juta. eHARAKAH 24/3/2018