Anak muda belia sedia bina Malaysia Sejahtera

SHAH  ALAM: Anak muda belia menunjukkan bahawa mereka adalah generasi penting ke arah mencorak impian Malaysia Sejahtera sebagaimana ditunjukkan pada DIALOGS 2018.

Advertisement

Program julung kali diadakan itu dengan penglibatan kira-kira 50 NGO Belia telah dianjurkan oleh Sekretariat Pemuda Gagasan Sejahtera yang dilangsungkan di Hotel De Palma, di sini hari ini.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapan perasmian DIALOGS 2018 itu telah menyentuh perkembangan semasa negara dari aspek politik, ekonomi dan sosial.

Menurutnya, dengan segala yang telah dilalui dan berlaku, negara menuntut kepada perubahan ke arah Malaysia lebih sejahtera dengan halatuju jelas di bawah teraju Gagasan Sejahtera.

Para peserta yang dirangsang beliau sebagai pencetus kepada semua perubahan itu turut menyokong dan berbicara bersamanya meliputi beberapa perkara.

Antara dibangkitkan mereka adalah mengenai Manifesti Gagasan Sejahtera, jaminan terhadap bukan Islam, PTPTN, pendidikan berkebajikan, percukaian, serta intensif kepada belia dan wanita muda.

Manakala pada sesi diskusi, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan perihal jaminan terhadap pembinaan jatidiri generasi muda yang menjadi komitmen Pemuda PAS.

Beliau turut menyatakan mengenai peranan bersama anak muda dalam mencorak halatuju negara yang akan memelihara kepentingan semua terutama anak muda.

Sementara Ketua Pemuda Ikatan, Shahir Adnan berbicara mengenai kerajaan telus, bersih dan bebas rasuah yang akan wujud di bawah pentadbiran Gagasan Sejahtera sekiranya diberi mandat memerintah.

Pada program itu juga menyaksikan Ikrar Anak Muda Membina Malaysia Sejahtera menerusi komitmen berpolitik secara matang dan sejahtera, serta _ta’awun_ dalam perkara kebaikan.

Mereka juga menyatakan kesungguhan mempersiapkan ilmu dan kemahiran menghadapi persaingan globalisasi dan Revolusi Industri 4.0 serta seruan agar anak muda mengundi pada PRU14.

Turut berucap pada sesi sumbang saran adalah Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin dan Aktivis Yayasan Amal, Imam Muda Fakhrul serta Naib Presiden ABIM, Jufitri Joha. – HARAKAHDAILY 25/3/2018