Harakah dan HD sumber utama maklumat PAS

KANGAR: Ahli PAS hendaklah menjadikan Harakah dan Harakahdaily (HD) sebagai rujukan dalam mendapat berita sahih, juga menjadi sikap tabayyun dalam menyemak maklumat diterima.

Advertisement

Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, hal tersebut penting untuk mengelak prasangka dalam realiti kepesatan teknologi di mana maklumat pantas tersebar.

Beliau menyatakan perkara tersebut ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kangar di Kompleks PAS Negeri Perlis (KOMPAS), di sini semalam.

Sedangkan menurutnya, sumber maklumat berkenaan sukar dikenalpasti dan terdapat yang mengundang mudarat di mana berkemungkinan dicipta oleh pihak musuh bertujuan mencetus porak peranda.

Justeru, ahli PAS perlu bersabar dan tidak terpengaruh dengan isu-isu yang tular untuk menyebabkan perpecahan tanpa merujuk kepada sumber rasmi parti.

Nuridah turut menyeru jentera penerangan membanyakkan aktiviti menerang dan bukan menyerang secara lebih proaktif bagi memberi kefahaman jelas agenda PAS kepada pengundi.

“Laksanakan pendekatan dengan hikmah untuk menarik pengundi dan mereka yang fobia atau kecewa dengan kacau bilau politik negara supaya (mereka) bersama dan mengundi PAS.

“Kita mestilah menguasai media massa dengan memperbanyakkan menerang bukan menyerang, banyakkan cerita kejayaan serta sumbangan PAS kepada masyarakat, serta menjelaskan prinsip dan halatuju perjuangan,” serunya.

Menyentuh isu golongan muda kurang meminati politik, beliau menyifatkan perkara itu sebagai protes terhadap kecamuk politik hingga rasa tidak penting mengundi.

Hal itu ujarnya, perlu ditangani petugas PAS dengan kesantunan pujukan melalui ziarah kebajikan dan memberi sentuhan atau bantuan terhadap permasalahan diutarakan golongan tersebut. – HARAKAHDAILY 25/3/2018