الَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُمْ بِظُلْمٍ أُولَٰئِكَ لَهُمُ الْأَمْنُ وَهُمْ مُهْتَدُون
“Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
(al-An’am: 82)
Islam sangat mengutamakan keselamatan sosial. Asas keselamatan sosial itu adalah keimanan kepada Allah. Insan yang bertaqwa pastinya tidak melakukan jenayah atas rasa ihsan bahawa setiap perilaku menatijahkan dosa dan pahala.
Atas dasar keselamatan sosial itu, PAS turut menekankan dalam 20 tawaran utama Manifesto Malaysia Sejahtera melalui tawaran ke 19:
“Menyemak kembali nisbah anggota keselamatan berbanding populasi setempat untuk mengurangkan kadar jenayah.”
Polis memainkan tanggungjawab utama dalam memastikan keselamatan sosial dapat dijamin. Atas usaha Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bersama agensi keselamatan yang lain, berdasarkan Indeks Keamanan Global 2017, Malaysia telah berjaya mengekalkan kedudukan sebagai negara ketiga paling aman di rantau Asia dan ke-29 daripada 163 buah negara di dunia.
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Perak) merakamkan ucapan tahniah dan mengucapkan setinggi penghargaan kepada seluruh anggota Polis di atas sumbangan dan usaha menjaga keamanan dan keselamatan di Malaysia.
DPPN Perak mengucapkan selamat menyambut Hari Polis ke 211. Tagline “Polis, Masyarakat Berpisah Tiada” bagi meraikan sambutan tahun ini sangat bertepatan dan bersesuaian. DPPN Perak percaya dengan komitmen dan kesungguhan yang dizahirkan melalui tagline ini, kadar jenayah dapat dikurangkan sekali gus membawa kesejahteraan kepada Malaysia khususnya di bumi Perak tercinta.
“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”
“Sedia Memerintah”
AKMAL HJ KAMARUDIN
Ketua Dewan Pemuda Pas Perak
7 Rejab 1439H / 25 Mac 2018 – HARAKAHDAILY 25/3/2018